Mukhriz bayangkan Mahathir mungkin tak bertanding di PRU14

Ramai yang menjangkakan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan Tun Mahathir Mohamad akan bertanding pada Pilihanraya Umum ke 14 yang bakal berlangsung tak lama lagi. Ini berikutan kenyataan Mahathir yang mencalonkan dirinya didalam senarai bakal Perdana Menteri Pakatan jika BN tewas.

Namun begitu, ramai juga pemerhati politik beranggapan kesediaan Mahathir untuk kembali ke kancah politik hanya akan merugikan Pakatan. Seandainya Mahathir tewas pada PRU14, ia akan menyebabkan imej Pakatan terjejas teruk dimata rakyat.

Walaupun Mahathir dikatakan akan menjadikan Langkawi sebagai kubu kuatnya didalam pertarungan pilihanraya umum, ia nyata bukan kerusi selamat bagi beliau mahupun PPBM. Hasil lawatan Perdana Menteri ke Langkawi baru-baru ini menunjukkan bahawa kawasan tersebut masih menjadi kawasan ‘hitam’ buat pembangkang.

Didalam satu temubual bersama dengan SinChew Daily, anak lelaki Mahathir iaitu Mukhriz memilih untuk berdiam diri apabila ditanya mengenai kemungkinan ayahnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hala tuju Dr. Mahathir yang kini berusia 92 tahun semakin mencuri tumpuan dengan khabar angin bahawa beliau akan bertarung lagi dalam medan pilihan raya.

Kata Mukhriz, Pakatan Harapan pada masa ini menumpu perhatian untuk menyelesaikan pembahagian kerusi antara parti dan perundingan belum sampai ke tahap penentuan calon.

Ditanya peratusan kemungkinan Dr. Mahathir bertanding semula, Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah enggan memberi ulasan.

“Beliau pun sudah tua, sudah berumur 92 tahun. Oleh itu, saya tidak boleh menjawab soalan ini,” katanya.

Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook pula berpendapat, penyertaan Dr. Mahathir dalam PRU-14 akan menaikkan semangat dan peluang kemenangan Pakatan Harapan.

Katanya, keputusan berkenaan bagaimanapun terserah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang dipimpin Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden PKR, Tian Chua pula berkata, kemunculan semula Dr. Mahathir akan memberi tekanan dan desakan kepada Barisan Nasional (BN).

Walau bagaimanapun, Tian Chua berpendapat, faktor usia akan menghalang Dr. Mahathir bertanding dan beliau besar kemungkinan hanya akan menjadi ahli strategi untuk Pakatan Harapan. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *