Padah rompak pelancong, peniaga dihukum penjara enam tahun

Kuala Terengganu : Seorang peniaga yang mencederakan wanita warga Belanda ketika merompak mangsa dihukum penjara enam tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas tertuduh, Rosmie Yuzairie Mohamad, 34, dari Kuala Besut mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa merompak harta milik Chantal Van Wonderen, 22, iaitu sebuah beg dan RM125 di laluan pejalan kaki di Pulau Perhentian, 1.30 petang pada 9 September lalu.

Tertuduh turut mengaku bersalah menggunakan senjata iaitu besi hingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Pendakwaan itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa bersama rakannya berjalan di laluan pejalan kaki sebelum dihampiri tertuduh yang memukul kepala mangsa menggunakan besi.

Tertuduh merampas beg tangan mangsa yang mengandungi RM125, kredit kad dan dua kad debit sebelum melarikan diri.

Kejadian itu menyebabkan mangsa luka di kepala dan susulan itu laporan dibuat di Balai Polis Kampung Raja, tertuduh ditahan di sebuah rumah di Kuala Besut pada jam 10 malam, hari sama.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *