Pakatan hanya bermimpi nak tawan 10 Parlimen di Kedah.

Pakatan Harapan khususnya Parti Cap Bunga nampaknya terlalu yakin untuk menawan negeri Kedah pada Pilihanraya Umum akan datang. Walaupun keahlian PPBM jauh lebih sedikit berbanding dengan parti-parti pembangkang lain di negeri berkenaan, namun nafsu mereka sangat besar.

Dengan hanya mempertaruhkan nama Mahathir dan juga Mukhriz, ramai pemerhati politik menjangkakan PPBM tak akan mampu untuk bertahan lama dan mungkin kalah teruk di Kedah. Pengaruh kedua-dua bekas ahli UMNO itu dilihat tidak mencukupi untuk menyaingi parti kerajaan pemerintah.

Dan tanpa sokongan dari PAS yang sememangnya agak kuat di Kedah, PPBM akan berdepan laluan sukar untuk menarik sokongan melayu di negeri tersebut. Jika PPBM menghadapi persaingan tiga penjuru dari PAS dan UMNO, kebarangkalian untuk Parti Mahathir itu hilang wang pertaruhan sangat tinggi.

Isu 1MDB dan juga GST yang dimainkan oleh pembangkang diseluruh negara, diramalkan sukar untuk dijadikan senjata pembangkang bagi menewaskan BN. Rakyat kini semakin terbuka dan memahami situasi sebenar berkenaan kedua-dua isu berkenaan.

Oleh yang demikian, peluang Pakatan yang bermimpi untuk menawan beberapa negeri pada pilihanraya ke 14 nanti, mungkin hanya tinggal angan-angan sahaja. Janji yang tidak realistik serta manifesto pilihanraya lalu yang masih belum tertunai, pasti akan dijadikan kayu ukur sebelum rakyat mengundi pembangkang.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid ketika mengulas mengenai peluang Pas dan BN di Kedah, mendakwa mereka mampu untuk menambah tujuh lagi kerusi Parlimen di Kedah disamping lima kerusi sedia ada yang dimenangi dalam pilihan raya umum yang lalu.

Menurut beliau lagi, kerusi Parlimen Padang Serai, Alor Setar, Sungei Petani, Kuala Kedah yang dimenangi oleh PKR akan kekal mendapat sokongan rakyat Kedah dalam pilihan raya yang akan datang.

Manakala kerusi Parlimen Pokok Sena yang diwakili oleh Datuk Mahfuz Omar akan menjadi milik PH bukan suatu igauan.

“Dalam pilihan raya umum ke 14, sokongan Umno di Kedah akan berpecah apabila Bersatu akan menjadi pilihan mereka yang tidak lagi menyokong Umno dan BN.

“Penyokong Pas yang telah begitu ramai keluar parti dan mendokong kepimpinan PH akan memberi sokongan kepada Amanah.

“Sementara itu PKR dan DAP akan tetap mendapat sokongan sepertimana yang pernah mereka perolehi dalam pilihan raya umum ke 13 yang lalu, ” jelas beliau.

Beliau juga berkata, antara kerusi yang telah diintai dan mampu dirampas dari tangan Umno dan BN adalah kerusi Parlimen Sik yang tidak dipedulikan oleh BN.

Malah katanya, kos sara hidup yang amat menekan serta kegagalan kerajaan negeri mengatasi masalah kemiskinan yang amat meruncing di kawasan parlimen tersebut membuktikan kegagalan mereka sebagai kerajaan yang memimpin.

“Kerusi Parlimen Langkawi yang begitu sinonim dengan Tun Mahathir bukan suatu fantasi lagi, sebaliknya mampu dirampas dari tangan Umno tidak lama lagi.

“Begitu juga dengan kerusi bagi kawasan Jerlun telah sebati dengan keakraban Datuk Seri Mukhriz sejak menjadi Menteri Besar serta sebelum itu lagi.

“Kubang Pasu juga merupakan satu lagi kerusi yang mempunyai potensi besar bakal dirampas oleh PH dalam pilihan raya umum yang akan datang, ” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, kerusi Parlimen Merbok yang pernah dimenangi oleh PKR dalam pilihan raya umum 2008 tidak mustahil mampu dirampas kembali kali ini oleh PH.

“Kerusi Jerai yang pernah dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umun 2008 yang lalu, akan turut berjaya ditawan tidak lama lagi.

“Padang Terap yang kini diwakili oleh Umno, turut menunjukkan perubahan besar yang mampu mengejutkan Umno dan BN dalam keputusan yang akan diperolehi dalam pilihan raya umum ke 14 nanti.

“Daripada senarai 36 kerusi Dun yang ada, PH mampu menambah lagi 15 selain dari kerusi sedia ada seperti Lunas, Bakar Arang, Bukit Selambau, Sidam untuk menjadikan Umno dan BN sebagai pembangkang sepertimana yang berlaku dalam pilihan raya umum 2008 dulu, ” tegasnya.

Negeri Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri yang mana kemenangan telah berjaya diperolehi dalam pilihan raya umum ke 12 apabila gabungan bersama Pas, PKR dan DAP telah berjaya membentuk kerajaan negeri ketika itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *