PAN hanya jadi pengacau – PAS Sarawak

SHAH ALAM: Penyertaan Amanah di beberapa kerusi yang ditandingi PAS di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hanya akan memecahkan undi sekaligus menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN).

Menurut Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee, PAS tetap akan meletakkan calon dikerusi parlimen yang pernah ditandingi mereka sebelum ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen semalam berkata, Amanah akan bertanding ditiga kerusi parlimen di Sarawak, jumlah yang pernah diperuntukkan kepada PAS dalam PRU13 yang lalu.

“Kalau kita lihat semasa pilihan raya umum Sarawak yang lalu, banyak kerusi yang Amanah tanding, sambutannya agak kurang. Tak sebesar yang PAS dapat.

“Bila mereka mengganggu kawasan PAS, itu yang menyebabkan undi PAS berkurang, berpecah. Kalau tujuan semata-mata nak ganggu, tak patutlah. Kalau mereka nak kacau juga, maknanya mereka sengaja nak beri kemenangan percuma kepada BN,” katanya kepada Antarapos.

Semalam, Chien Jen mengumumkan peruntukan kerusi selepas PH Sarawak menyelesaikan pembahagian 31 kerusi sesama mereka bagi menghadapi PRU14 akan datang.

PKR, DAP dan Amanah juga bersetuju mengekalkan status quo yang pernah dipersetujui Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Hasil pembahagian itu DAP akan bertanding di 11 kerusi, PKR pula 17 dan Amanah menggantikan PAS dengan tiga kerusi.

PAS bagaimanapun gagal memperoleh sebarang kerusi pada PRU13 lalu.

Dalam pada itu Jofri berkata, PAS Sarawak masih belum memutuskan jumlah kerusi yang akan ditandingi mereka kelak, sambil menambah, keputusan akan bergantung dengan perbincangan bersama PAS Pusat.

Ujarnya lagi, PAS Sarawak bersedia pada bila-bila masa untuk menggerakkan jentera pilihan raya bersama NGO yang menyokong Gagasan Sejahtera (GAGASAN).

 

Sumber -na-/Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *