Penganalisis ekonomi: Jemputan tak akan dilakukan jika Trump tak yakin dengan Najib

SHAH ALAM: Disebalik ulasan buruk sesetengah pihak mengenai lawatan Datuk Seri Mohd Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS), namun sambutan yang diberikan Presidennya, Donald Trump membuktikan pemimpin itu mempunyai keyakinan tinggi terhadap Perdana Menteri.

Penganalisis ekonomi, Prof Datuk Mohd Yusof Kasim berpandangan, keyakinan AS terhadap Malaysia didorong oleh beberapa faktor, khususnya komitmen negara bersabit hal ehwal perdagangan, kemanusiaan serta komited memerangi keganasan.

“AS dari segi tradisinya pun memang antara rakan dagang terbesar dengan Malaysia, dulu memang ia merupakan yang terbesar dan Malaysia banyak bergantung dalam perdangangan dengan AS.

“Macam mana pun kita mesti berbaik dengan AS bagi meningkatkan lagi perdagangan dua hala, dari segi eksport.

“Kita juga menekankan faktor kemanusiaan dan hak asasi manusia, negara seperti Palestin dan Rohingya, kita ambil berat. Trump melihat perkara-perkara ini, maknanya kita memang antara juara hak asasi, serta kita tiada diskriminasi kepada pekerja asing di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Antarapos.

Beliau berkata demikian mengulas ‘kekecohan’ yang dibangkitkan sesetengah pihak mengenai lawatan Najib ke AS, ditengah-tengah kehangatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menghimpit perdana menteri itu.

Jun lalu, Jabatan Kehakiman (DoJ) AS memfailkan saman bagi merampas lebih banyak aset yang didakwa menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohd Yusof yang juga Pengerusi Lembaga Maktab Koperasi Malaysia (MKM) berkata, jemputan tidak akan dilakukan sekiranya presiden AS itu tidak meyakini Najib.

“Kalau Trump termakan dengan dakwaaan mengenai 1MDB itu, dia tak akan jemput Datuk Seri Najib. Maknanya ia ada keyakinan kepada Perdana Menteri Malaysia, dan isu-isu 1MDB dianggap seperti orang barat katakan ‘Apolitical’,” kata beliau.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Yusof berkata, lawatan tersebut sewajarnya dilihat dalam kerangka yang lebih luas kerana ia bukan sekadar mengukuhkan hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua negara, malah bakal memberikan manfaat yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Contohnya permohonan pengecualian visa ke negara itu, saya fikir ia akan ditekan dalam lawatan itu,” ujar beliau.

Najib kini berada di AS dalam lawatan kerja tiga hari ke negara itu atas jemputan Trump, presiden baru yang menggantikan Barrack Obama selepas menang dalam pilihan raya presiden, November tahun lalu.

Selain diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, antara yang turut serta dalam delegasi itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

 

Sumber – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *