Pengantin bernasib baik banjir kilat melanda rumah selepas majlis selesai

PENGANTIN yang melangsungkan perkahwinan di Kampung Sungai Tepus, Bandar Baharu semalam bernasib baik apabila banjir kilat melanda rumah selepas majlis selesai.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, rumah bapa pengantin perempuan, Faridun Wahab,49, dilanda banjir kilat menyebabkan meja, kerusi, pelamin dan meja makan pengantin yang berada di bawah khemah turut ditenggelami air lumpur.

Faridun berkata, sebelum kejadian itu, anaknya Fatin Norazlin Faridun, 21, bersama pasangannya Muhamad Sofi Nordin, 22, melangsungkan majlis perkahwinan mereka namun ketika kejadian tetamu sudah pulang.

Menurutnya, hujan lebat bermula pada 2 petang di kawasan Bandar Baharu dan berlarutan sehingga jam 6 petang semalam.

“Ketika hujan itu ramai tetamu sudah beransur pulang namun masih ada tetamu yang hadir walaupun hujan masih lebat.

“Kira-kira 6.30 petang ketika kami sedang berehat serta mengemas rumah tiba-tiba paras air sungai naik mendadak dan limpahan air datang dari arah bukit berdekatan berhampiran Lebuhraya PLUS.

“Pada mulanya kami sangka paras air hanya naik sehingga paras betis sahaja kerana kebiasaannya banjir kilat yang berlaku tidak melebihi tembok yang dibina di hadapan pintu rumah namun semalam sebaliknya apabila air terus masuk ke dalam rumah sehingga bilik pengantin turut terkena air lumpur,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Sementara itu, Fatin Nurazlin berkata, dia tidak sangka hari perkahwinan semalam menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.

“Nasib baik baju pengantin diletakkan di tempat tinggi jika tidak habis terkena air lumpur namun segala kelengkapan yang berada di dalam bilik pengantin terutama yang ada di lantai habis terkena air lumpur,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor berkata, pihaknya sejak dari malam semalam sudah mengerakkan Skuad Bantuan Banjir yang ketuai Pejabat Daerah Bandar Baharu membabitkan pelbagai agensi kerajaan seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta lain-lain untuk membantu mangsa banjir.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *