Perjanjian Malaysia 63 : Saya akan terus berjuang tegakkan kebenaran – Zulkarnain

KUALA LUMPUR – Meskipun berdepan tindakan saman oleh ahli Parti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), namun Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) tidak akan berhenti berjuang membongkar salah laku pembangkang serta menegakkan keadilan yang bersandarkan fakta, malah panel peguam NGO tersebut sudah bersedia sejak awal lagi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurut Pengerusinya, Datul Zulkarnain Mahdar, beliau dengan sukacitanya mengalu-alukan tindakan saman daripada Lucy Listin Batak, Jeffrey Kumin @ John, Homer D Lubaton, Alfred Raphael dan Marcel Jude A/L MS Joseph berhubung kait perjanjian Malaysia 63 dan bersedia berhadapan dengan mereka di Mahkamah kerana berkeyakinan berada dipihak yang benar.

“Sekiranya mereka beranggapan bahawa dengan cara tindakan saman sebegini akan menghentikan perjuangan saya ternyata mereka silap, ini adalah kerana saya akan terus berjuang bagi menegakkan kebenaran.

“Setiap kenyataan saya adalah bersandarkan fakta dan panel peguam saya telah bersiap siaga sejak dari awal lagi untuk mempertahankan saya dan berhadapan dengan sesiapa sahaja di Mahkamah kerana berkeyakinan berada dalam landasan kebenaran,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Malah, jelas Zulkarnain, beliau tidak pernah menghalang sesiapa pun daripada membincangkan perjanjian Malaysia 63, malahan sentiasa menjemput sebarang perbicangan secara terbuka demi kebaikan negeri Sabah namun menggesa agar pihak yang tidak berpuas hati dengan perjanjian tersebut membawa perkara ini ke Mahkamah adalah bertujuan mengelakkan lebih banyak kekeliruan dan polemik dikalangan rakyat khususnya di Sabah.

Tambah beliau, kenyataan yang dikeluarkan pihaknya sebelum ini hanya lebih kepada mempertikaikan kredebiliti bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah yang seakan-akan kelihatan cuba menjadi juara perjanjian Malaysia 63 di Sabah walaupun pada asasnya Shafie, sepanjang menjawat jawatan Setiausaha Parlimen dan Menteri sejak tahun 1995 sehingga tahun 2015 Shafie tidak pernah kelihatan hadir dalam forum terbuka bagi membincangkan perjanjian tersebut.

“Malahan wakil UMNO dan BN iaitu Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kelihatan lebih kehadapan apabila pernah menganjurkan forum rakyat bagi membincangkan perjanjian 63 tersebut malahan hasil forum tersebut telah diterjemahkam menjadi memorandum dan telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya juga agak pelik apabila Datuk Ainal Fattah seorang peguam tempatan tidak dikenakan tindakan saman yang sama walhal Datuk Ainal juga sebelum ini turut sama mengeluarkan kenyataan akhbar bagi mempertahankan bahawa perjanjian Malaysia 63 adalah sah dari sudut perundangan,” ujarnya.

Zulkarnain berkata demikian sebagai reaksi terhadap saman yang dibuat oleh ahli parti STAR terhadap Zulkarnain, kerajaan Persekutuan serta kerajaan Negeri Sabah berhubung isu pengisytiharan isu Perjanjian Malaysia 1963 di Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Dilaporkan, parti berkenaan memohon satu injunksi menghalang defendan pertama daripada membuat kenyataan, sama ada secara terbuka atau sebaliknya, mengugut, menekan atau mengancam kebebasan bersuara dan hak kebebasan bersuara yang dibenarkan kepada rakyat Malaysia dan rakyat Sabah seperti dijamin oleh Perkara 10 daripada Perlembagaan Persekutuan.

Zulkarnain sebelum ini membuat kenyataan bahawa isu Perjanjian Malaysia 63 di antara Sabah dan Sarawak tidak sepatutnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak memandangkan perjanjian ini adalah sah dari sudut perundangan, namun sekiranya ada pihak yang cuba mempertikaikannya sebaiknya jalan terbaik adalah membawa ia ke mahkamah sebagai bentuk jalan penyelesaian.

 

Sumber – Klxpress

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *