Perkhidmatan ‘pandu lalu’ upacara pengebumian

TOKYO: Sebuah syarikat menguruskan mayat di Jepun menawarkan khidmat bagi membolehkan keluarga si mati memberikan penghormatan terakhir tanpa perlu keluar dari kereta.

Syarikat itu mendakwa ia merupakan perkhidmatan ‘pandu lalu’ seumpamanya yang pertama di Jepun.

Waris si mati dalam kalangan warga emas boleh mendaftar nama mereka pada skrin sesentuh peranti tablet dan membuat upacara tradisional dengan hanya menurunkan tingkap kereta mereka.

Proses itu akan menyaksikan upacara pengebumian yang ditonton menerusi skrin.

Menurut presiden syarikat, Masao Ogiwara, perkhidmatan tersebut bertujuan untuk mempercepatkan urusan pengebumian dan memberi peluang kepada keluarga untuk menghadiri upacara itu.

“Warga emas mungkin teragak-agak untuk hadir ke upacara pengebumian kerana mereka akan diminta keluar dari kereta,” kata Ogiwara kepada AFP.

“Tetapi kita mahu seramai yang mungkin untuk hadir dan memberi penghormatan terakhir kepada keluarga, rakan atau jiran mereka,” katanya.

Kebiasaannya, seseorang yang menggunakan kerusi roda akan mengambil masa sekurang-kurangnya 15 minit untuk terlibat dalam upacara tradisional bagi pengebumian di Jepun.

Ogiwara berkata, perkhidmatan itu akan mengurangkan masa kepada hanya beberapa minit.

Tambahnya, perkhidmatan tersebut dijangka bermula pada Disember ini. – AFP

Sumber – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *