Pesawat Japan Airlines membuat pendaratan cemas di Tokyo

TOKYO: Pesawat Japan Airlines (JAL) yang sedang dalam perjalanan ke New York dilaporkan membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda berikutan masalah enjin.

Dalam kejadian itu, pesawat Boeing 777 yang membawa 233 penumpang dan 15 anak kapal berlepas dari lapangan terbang terbabit pada jam 11 pagi (waktu tempatan), sebelum berpatah balik kira-kira sejam kemudian.

Rakaman video yang dipaparkan stesen televisyen NHK menunjukkan pesawat berkenaan mendarat dengan selamat di lapangan terbang.

“Insiden itu dipercayai berlaku selepas seekor burung disedut masuk ke dalam bahagian enjin di sebelah kiri pesawat ketika ia berlepas.

“Berikutan itu, pesawat terbabit terpaksa berlegar-legar di udara untuk menghabiskan minyak dan mengurangkan berat pesawat sebelum mendarat,” kata jurucakap JAL kepada AFP.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan, berkata kawasan lapang bersebelahan satu daripada empat landasan di lapangan terbang terbakar, sebaik sahaja pesawat itu berlepas tetapi ia berjaya dipadamkan.

“Kami terpaksa menutup satu landasan bagi menghadapi kemungkinan serpihan pesawat jatuh dari pesawat terbabit,” katanya.

Selain itu, tiada maklumat lengkap diterima mengenai kerosakan terhadap pesawat atau kecederaan membabitkan penumpang atau anak kapal atau kelewatan jadual penerbangan akibat insiden itu.

Haneda yang juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo adalah lapangan terbang kelima paling sibuk di dunia dan mengendalikan lebih 75 juta penumpang setiap tahun. – AFP

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *