PKR tak akan rayu pembebasan Anwar kerana sudah ada Mahathir.

Demi menjaga hati Mahathir, nasib bapa sendiri pun sanggup digadaikan. Itulah yang terjadi apabila Nurul Izzah menyatakan bahawa PKR sudah tidak lagi akan merayu untuk membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buloh.

Jika sebelum ini PKR terutamanya Nurul Izzah dilihat begitu bermati-matian untuk membebaskan Anwar, namun selepas kehadiran Mahathir dan PPBM didalam Pakatan Harapan, PKR mula menjadi lebih ‘lembut’.

Tambahan pula Mahathir kini diangkat sebagai ‘Top Dog’ didalam gerombolan pembangkang, sudah tentunya PKR terpaksa mengikut sepenuhnya cakap Mahathir dan juga semua perancangan yang bekas perdana menteri itu gariskan.

Dahulu, Mahathir bertindak sebagai ‘mastermind’ untuk memenjarakan Anwar hingga tertubuhnya PKR, kini Mahathir pula memperkudakan PKR disaat Anwar meringkuk didalam penjara. Alangkah malangnya nasib yang terpaksa dilalui oleh PKR dan Wan Azizah.

Ketika bercakap dihadapan media di Ibupejabat PKR, Nurul Izzah seakan-akan pasrah apabila mengumumkan bahawa tiada lagi rayuan yang akan dibuat oleh pihaknya dan parti berhubung pembebasan Anwar.

“Jadi kempen (pembebasan Anwar), saya tak perlu pinta dan rayu kepada pembebasan, kerana kita mempunyai pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah perakui (perlunya pembebasan Anwar),” katanya selepas sidang medianya disini, hari ini.

Katanya lagi, justeru itu kerajaan perlu melakukan perkara ‘sepatutnya’, kerana isu pembebasan Anwar ini telah dinyatakan oleh banyak pihak.

“Pesuruhjaya Hak Asasi PBB, Putera Zeid Ra’ad mengakui Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib dibebaskan serta-merta.

“Pada saya ini merupakan satu bentuk pembuktian…Ini termasuk fatwa Sheikh Yusuf Al-Qardawi berhubung pembebasan itu,” katanya.

Sebelum ini, keluarga Anwar beberapa kali telah berusaha untuk mendesak agar Anwar dibebaskan daripada hukuman penjara. Pada 24 Februari lalu, keluarga Anwar juga telah menghantar permohonan pengampunan Diraja di atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan anaknya, Nurul Nuha Anwar telah menghantar permohonan itu ke Istana Negara, manakala Nurul Izzah telah menghantar satu permohonan surat rasmi untuk maklum permohonan pengampunan Diraja ke Parlimen.

Anwar dipenjarakan apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas diri bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada Februari 2015.

Mahkamah Persekutuan juga mendapati Anwar bersalah atas kesalahan meliwat Saiful Bukhari tujuh tahun lalu. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *