PM Najib, Presiden Trump ikrar pertingkat hubungan ekonomi, hapus sekatan dagangan

WASHINGTON DC – AMERIKA SYARIKAT. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump berikrar untuk mempertingkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara bagi mewujudkan peluang serta pekerjaan selain menghapuskan sekatan perdagangan dalam sektor-sektor utama.

Dalam satu kenyataan bersama bagi mempertingkatkan perkongsian komprehensif Amerika Syarikat dan Malaysia, kedua-dua negara juga memperakui kepentingan perbincangan secara tetap di bawah Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan dalam usaha mengukuhkan hubungan perdagangan dengan menghapuskan sekatan dalam sektor-sektor utama berkaitan.

Ikrar itu juga mencerminkan hubungan perdagangan yang lama serta penting bagi kedua-dua negara berkenaan, kata kenyataan tersebut.

“Kedua-dua negara mengumumkan hasrat untuk terus meninjau peluang perdagangan dan pelaburan dalam sektor pengangkutan dan tenaga serta menangani ketidakseimbangan perdagangan dua hala,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan susulan rundingan antara kedua-dua pemimpin berkenaan di Rumah Putih bersempena lawatan kerja Najib selama tiga hari ke Amerika Syarikat.

Selain pertemuan empat mata di Oval Office, kedua-dua pemimpin turut menyertai mesyuarat delegasi Amerika Syarikat dan Malaysia yang melibatkan anggota Kabinet serta pegawai kanan kerajaan dua negara itu.

Menerusi kenyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin berkenaan turut mengalu-alukan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Malaysia Airlines dan Boeing Aircraft Corporation bagi pembelian lapan pesawat baharu Boeing 787-9 Dreamliners, hak pembelian bagi lapan pesawat tambahan 737 MAX dan kemudahan penyelenggaraan pesawat syarikat penerbangan nasional itu yang melibatkan potensi nilai US$4 bilion (US$1 = RM4.20).

Trump juga menyambut baik kemungkinan pembelian tambahan pesawat Boeing pada masa depan.

“Kedua-dua pemimpin itu juga mengalu-alukan pembabitan sektor swasta Amerika Syarikat dalam pembangunan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.”

Selain itu, Malaysia dan Amerika Syarikat turut komited untuk mengkaji semula kerangka kawal selia bagi kemudahan pelaburan dalam ekonomi masing-masing, kata kenyataan itu.

Trump menyambut kehadiran Najib di Rumah Putih bagi memperkukuhkan perkongsian komprehensif antara kedua-dua negara bersempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala yang terjalin antara Amerika Syarikat dan Malaysia.

Kedua-dua negara itu berkongsi sejarah kerjasama erat yang panjang dan berasaskan hubungan ekonomi dan kepentingan keselamatan bersama.

Selain ekonomi dan perdagangan, kedua-dua pemimpin itu turut berikrar untuk terus memantapkan hubungan berkenaan dengan mempertingkatkan aspek diplomatik, keselamatan dan perhubungan sesama rakyat.

 

Sumber – Bernama/Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *