Polis berjaya tahan penagih dadah 10 minit selepas rempuh sekatan jalan raya

Segamat: Polis menahan seorang lelaki yang juga penagih dadah 10 minit selepas suspek merempuh sekatan jalan raya di Kilometer 4, Jalan Segamat-Muar, jam 11.20 malam kelmarin.

Suspek yang berusia 29 tahun ditahan apabila Proton Waja dipandunya terbabas.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, selepas merempuh sekatan, dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengejar suspek yang menghala Jementah.

“Anggota URB mendapati suspek masuk ke jalan mati di Gemerih. Ketika diarahkan keluar, suspek tiba-tiba mengundur dengan laju dan anggota URB yang hampir dirempuh sempat melompat daripada motosikal.

“Suspek memecut ke bandar Segamat. Pergerakannya dikesan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) sebelum dikejar,” katanya, semalam.

Menurut beliau, suspek gagal mengawal kereta sebelum terbabas di Jalan Tak Ak.

“Suspek cedera ringan di muka, kedua belah tangan serta kaki akibat kemalangan itu dan dibawa ke Hospital Segamat untuk rawatan.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis heroin. Kereta dipandunya juga tiada perlindungan insurans selain cukai jalan tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga ada beberapa rekod jenayah lampau dan kini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *