Polis Russia tahan 2 lelaki rancang jual rakan kepada sindiket pemerdagangan organ

Moscow: Polis Russia menahan dua lelaki baru-baru ini kerana merancang untuk menjual rakan mereka kepada sindiket pemerdagangan organ manusia.

Media Russia melaporkan, suspek yang berusia 53 dan 21 tahun itu dikesan mencari orang tengah bagi menjual organ rakan mereka itu.

Selepas berurusan dengan orang tengah berkenaan, suspek meminta seorang rakan lelaki mereka membawa sebuah kereta ke bahagian timur Ukraine yang dikuasai tentera Russia.

Mangsa yang berusia 26 tahun dan tidak dinamakan itu menyangka dia diupah untuk menghantar kereta kepada individu tertentu.

Bagaimanapun, mangsa tidak sedar bahawa dia sebenarnya dijual oleh rakannya sendiri kepada sindiket pemerdagangan organ manusia.

Polis yang berjaya mengesan aktiviti dua lelaki itu menghantar seorang pegawai untuk menyamar sebagai ejen sindiket pemerdagangan organ manusia.

Anggota polis yang menyamar sebagai ejen itu kemudian bertemu kedua-dua lelaki berkenaan bagi urusan jual beli mangsa.

Kedua-dua suspek itu ditahan ketika perbincangan di sebuah bilik hotel di bandar Taganrog, wilayah Rostov Oblast, Russia.

Dalam perbincangan itu, mereka merancang menculik mangsa sebaik dia tiba di Ukraine dan semua organnya dijual kepada pembeli berpotensi.

Kedua-dua lelaki itu ditangkap ketika menerima bayaran sebanyak £20,000 (RM110,511) daripada anggota polis yang menyamar sebagai orang tengah berkenaan.

Kata laporan itu lagi, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan bakal didakwa atas tuduhan memperdagangkan manusia.

Sumber – penmerahpress

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *