PRU14: Langkawi atau Putrajaya jadi pilihan Mahathir jika bertanding

SHAH ALAM: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan minatnya terhadap kerusi Langkawi atau Putrajaya, jika diminta rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding dalam pilihan raya kelak.

Memetik wawancaranya bersama Malaysiakini, Dr Mahahir menambah kemungkinan itu tidak akan berlaku sekiranya ada di kalangan parti-parti pembangkang di dalam gabungan itu tidak mahu mencalonkan beliau.

“Saya dah tua, saya tak mau bertanding lagi, tapi kalau terdesak sangat, kalau semua parti bersetuju, saya bertandinglah.

“Tapi kalau ada parti dalam HARAPAN yang tak bersetuju, saya tak akan bertandinglah.

“Buat masa ini saya menjadi ketua bahagian BERSATU Langkawi.

“Saya fikir saya boleh (bertanding) ke situ, atau di Putrajaya,” katanya memetik sebahagian wawancara berkenaan.

Dr Mahathir merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun dan mewakili kerusi Kubang Pasu, Kedah.

Dalam pada itu Dr Mahathir turut mengulas keadaan kerajaan yang baru jika PH menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Dengan pengalamannya yang banyak selaku perdana menteri, Dr Mahathir berharap agar dirinya diberikan peranan memberi pendapat kepada kerajaan.

“Saya harap diberi peluang untuk memberi sedikit pendapat kepada kerajaan kerana saya berpendapat, saya menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

“Pengalaman saya banyak dan saya terpaksa tangani banyak masalah dan berjaya menyelesaikannya.

“Justeru mungkin sebahagian nasihat saya berguna untuk kerajaan baru itu nanti,” katanya.

 

Sumber -ai-/Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *