Pusat Tahfiz di Pulau Pinang akan dikenakan tindakan jika abai keselamatan.

Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana institusi tahfiz di negeri ini yang gagal mematuhi garis panduan keselamatan.

Amaran itu berikutan tragedi kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat Kuala Lumpur hari ini yang mengorbankan 23 nyawa.

Exco hal ehwal agama Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kassin berkata kerajaan negeri sudah mengarahkan institusi tahfiz di negeri ini untuk meningkatkan keselamatan di premis mereka termasuk pencegahan kebakaran.

“Kami akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana sekolah yang mengabaikan keselamatan, termasuk menarik balik kelulusan dan menutup premis mereka.

“Langkah ini diambil untuk keselamatan anak-anak serta menjaga reputasi institusi pendidikan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malik juga berkata, Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang,pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat akan mengadakan pertemuan dengan pentadbir sekolah tahfiz untuk taklimat khas tidak lama lagi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi hari ini, 21 pelajar berusia antara 11 hingga 17 tahun dan dua guru terbunuh manakala 14 yang lain berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Kesemua mayat mangsa ditemui rentung berhampiran tingkap. Mangsa dipercayai terperangkap dalam bangunan berjeriji dan penghadang yang dibina bukan dalam pelan asal.

Jabatan Bomba dan Penyelamat menyiasat kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat.

Sekolah tahfiz terbabit sudah beroperasi tanpa sijil kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Noh Omar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *