Rafizi dakwa Anwar sokong perbincangan dengan PAS di Selangor.

Kebenaran Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang kini sedang meringkuk dalam penjara kepada kerjasama parti PKR dengan PAS tidak seharusnya dianggap sebagai petanda untuk meneruskan perbincangan dengan parti Islam itu, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau mengalukan kenyataan Anwar sebelum ini bahawa semua isu tentang kepimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) perlu diselesaikan seberapa segera kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 semakin hampir.

“Sebab itu bagi saya, isu ini tidak lagi berbangkit dan kenyataan Anwar semalam tidak boleh disalah ertikan sebagai persetujuan untuk terus menggantung rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan demi memujuk PAS sehingga ke saat akhir penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata yang beliau merestui rundingan antara PKR dan PAS sejak dua tahun lalu, dan beliau juga merestui rundingan yang dilakukan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali bagi membincangkan kerjasama pilihan raya dengan PAS di Selangor pada PRU14 akan datang.

Ketua umum pembangkang itu turut mengatakan yang rundingan dengan PAS perlu dijalankan dalam kerangka komitmen PKR terhadap PH.

Katanya, pendirian beliau sentiasa konsisten- yang pintu rundingan perlu sentiasa dibuka bagi menghalang berlakunya pertandingan tiga penjuru- tetapi “pimpinan berhak membuat penilaian dari masa ke masa”.

Isu kerjasama PKR-PAS menimbulkan konflik antara Rafizi dan Azmin sehingga mencetuskan krisis dalaman parti itu. Rafizi mendesak kongres khas diadakan bagi menyerahkan akar umbi memutuskan pendirian parti itu sekiranya garis panduan yang diberikan Anwar serta keputusan Majlis Presiden PH untuk menolak PAS masih tidak mencukupi untuk kepimpinan parti membuat keputusan muktamad.

Kenyataan Azmin yang terbaru mengatakan beliau sedia berbincang dengan PAS mengenai pembahagian kerusi di Selangor pada PRU14 menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sebahagian pemimpin PKR, termasuk Rafizi yang mendakwa tindakan itu akan mengelirukan penyokong pembangkang.

Semalam Anwar mempersoalkan keperluan mengadakan kongres khas untuk membincangkan kerjasama dengan PAS, walaupun beliau terbuka dengan idea itu.

Rafizi berkata beliau bersetuju yang kongres itu sebenarnya tidak diperlukan kerana Majlis Presiden PH sudah membuat keputusan tetapi menambah yang akar umbi parti mempunyai hak untuk mengadakannya sekiranya masalah itu masih tidak mempunyai keputusan muktamad.

Majlis Presiden PH minggu lepas memutuskan yang pakatan pembangkang itu tidak akan bekerjasama dengan PAS dan bersedia berdepan dengan pertandingan tiga penjuru pada PRU14.

Rafizi juga berkata yang keputusan itu dilakukan berdasarkan maklumat semasa, sedangkan Anwar disebabkan berada di dalam penjara mungkin menerima maklumat terhad kerana perhubungannya dengan PKR selalunya dilakukan dengan peguamnya, R. Sivarasa, Latheefa Koya dan N. Surendan yang disifatkan Rafizi “adalah pendokong kepada cadangan bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru”.

Katanya, apa yang dilakukan Anwar hanyalah mengulangi prinsip konsensus tentang PAS dalam PH kerana PKR perlu kekal komited kepada pakatan itu; apa sahaja kerjasama dengan PAS perlulah berada dalam kerangka keseluruhan strategi pilihan raya PH; dan keterbukaan PKR kepada PAS sentiasa boleh dinilai parti dan kepimpinan parti dari semasa ke semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *