‘Saya hampir terkena meroyan kerana rasa kemurungan ayah meninggal’

Tengok orang berdepan dengan berita sebuah kematian, belum tentu kita rasa dan faham apa yang dia telan. Melainkan kita sendiri pernah ditimpa ujian kehilangan orang paling rapat dan kita kasihi. Untuk selami perasaan sebuah kehilangan, jom baca sebuah renungan daripada perkongsian Puan Ainizal Abdul Latif ini…

Ketika arwah ayah meninggal dunia saya sedang sarat menunggu hari untuk bersalin anak ketiga. Tak lalu untuk saya ceritakan keadaan saya ketika itu, cukuplah saya gambarkan, saya dipapah keluar kereta oleh adik lelaki dan suami kerana kedua lutut ini rasa seperti tiada tulang untuk berjalan. Terlalu lemah nak menghadap jenazah ayah.

Saya hampir terkena meroyan kerana rasa kemurungan masih tak hilang kerana belum cukup seminggu ayah meninggal saya dipaksa untuk melahirkan anak lebih awal kerana contraction yang kuat. Ia sangat berisiko memandangkan saya sudah confirm untuk bersalin secara ceazer.

Ketika tempoh berpantang, saya mohon kekuatan dan berdoa kepada Allah, dan ketika itu Allah temukan saya dengan satu buku ( tak ingat tajuknya ) yang di dalam nya terkandung satu kisah yang mana kisah itu menjadi kekuatan kepada saya untuk memahami hakikat sebuah kematian.

Saya kongsikan kisah tersebut, moga dapat kita mengambil iktibar yang sama setiap kali kita berdepan dengan ujian kematian terutamanya ujian kehilangan orang yang paling rapat dan paling kita kasihi di dunia ini.

***********************

Kisah ini di ambil dari kisah semasa pemerintahan Nabi Sulaiman. Seperti yang kita tahu, Nabi Sulaiman antara nabi yang paling banyak di kurniakan mukjizat oleh Allah.

Salah satu mukjizat hebat Nabi Sulaiman yang tidak dikurniakan pada nabi-nabi lain ialah baginda boleh memberi arahan kepada angin supaya menggerakkan dan membawa baginda untuk kemana-mana.

Dalam erti kata lain, baginda mempunyai kenderaan paling canggih ketika itu, iaitu angin.

Suatu hari Nabi Sulaiman membuat satu keramaian di istananya dan menjemput ramai pembesar negeri untuk datang meraikan majlisnya. Dalam ramai-ramai pembesar yang hadir, ada seorang pembesar yang kelihatan resah gelisah.

Keresahan dan kegelisahan itu di sebabkan di dalam majlis itu, dia menyedari ada seorang lelaki yang memerhatikan nya dengan pandangan yang tajam beserta rupa yang sangat bengis dan menakutkan.

Pembesar itu rasa ketakutan sehingga dia pergi mendapatkan Nabi Sulaiman. Dia lantas berkata dengan keadaan cemas kepada baginda,

“Wahai Nabi Sulaiman, sebagai seorang nabi yang diberi kekuatan oleh Allah untuk menguasai angin, bolehkah engkau mengarahkan angin untuk menerbangkanku ke negera Cina sekarang juga?” ( Ada setengah sumber mengatakan negara India, ada juga sumber lain Baghdad. Wallahu alam.)

Nabi Sulaiman lantas bertanya kehairanan,

“Mengapa kau menyuruh aku menerbangkan ke negeri China secepat itu?”

Dia berterus terang kepada Nabi Sulaiman. Sambil menuding jari ke arah lelaki yang agak jauh kedudukannya dari mereka itu, dia berkata,

“Sedari tadi aku diperhatikan oleh lelaki itu. Renungan matanya padaku sangat tajam dan menakutkan. Aku rasa tidak tenang. Kerana itu aku mohon agar engkau menerbangkan ku jauh dari negara ini supaya aku dapat larikan ketakutan ku padanya. Sungguh aku rasa terancam dengan pandangannya.”

Nabi Sulaiman memenuhi kehendak pembesar itu dengan mengarahkan angin untuk menerbangkannya ke negara cina serta merta.

Sesudah itu, segera baginda mendapatkan lelaki yang memandang pembesar itu tadi untuk bertanyakan soalan. Sebenarnya Nabi Sulaiman sangat kenal dengan susuk badan lelaki itu.

Dia ialah malaikat maut iaitu malaikat Izrail yang menjelmakan dirinya dalam bentuk susuk badan manusia dengan izin Allah.

Terus Nabi Sulaiman bertanya,

“Mengapa engkau memandang pembesar tadi sehingga menyebabkan ketakutan pada dirinya. Adakah engkau di suruh Allah untuk mencabut nyawanya?”

Lantas malaikat itu menjawab,

“Sebenarnya aku berasa sungguh hairan. Allah telah memberikan arahan kepada aku supaya mencabut nyawa nya pada sekian waktu.”

“Apakah yang menyebabkannya engkau berasa hairan? Bukankah itu adalah tugasan hakiki mu?” Tanya Nabi Sulaiman.
Malaikat itu menerangkan yang menyebabkan Nabi Sulaiman terpaku mendengarkan jawapannya,

“Aku berasa hairan kerana Allah menyuruh ku mencabut nyawanya di negara China. Aku hairan bagaimana dia mahu ke negara China yang jauh itu sedangkan hari ini dia masih berada di sini. Di istana mu sambil meraikan majlis mu”
Terus Nabi Sulaiman menjawab,

“Subhanallah, aku baru mengarahkan angin untuk menerbangkannya ke Negara China..”

Begitulah hakikatnya sebuah kematian. Ia adalah rahsia Allah bagaimana, dimana, dan dengan cara apa kita dipisahkan antara nyawa dan badan hanya Allah yang maha mengetahui segalanya.

Malaikat yang akan mencabut nyawa kita sendiri tidak mengetahui bagaimana. Dia hanya menerima arahan sahaja berdasarkan maklumat yang Allah berikan.

Begitulah saya menerima hakikat kematian ayah saya dulu. Betapa saya ralat kerana tidak dapat membantunya mendapatkan rawatan yang lebih baik untuk mengubat penyakitnya ketika itu bukanlah sebab yang boleh menghalang dari malaikat menjalankan tugasnya.

Hakikatnya, ajalnya telah sampai dan Allah tidak mungkin akan melambat atau mempercepatkannya walau seminit, walau seinci. Penyakit dan segala apa yang terjadi hanyalah asbab sahaja untuk menyampaikan ajal tadi.

Dan hari ini, ketika melihat tragedi kematian beramai-ramai di maahad tahfiz semalam, ketika membaca pelbagai reaksi daripada orang ramai dengan menyesali kebakaran yang terjadi, saya sangat memahami situasi tidak dapat menerima kenyataan itu.

Mencari kebenaran tentang punca mengapa kebakaran itu terjadi adalah perlu. Jika benar ada haq yang perlu di tegakkan, dan ada bathil yang perlu di buktikan.

Mengenal pasti punca serta mencari sebab terjadinya juga dapat menjadi iktibar untuk mengelak perkara yang sama dari berulang serta menjadi asbab untuk penambah baik kan kepada semua pusat tahfiz seluruh negara.

Namun, siapalah kita untuk menyalahkan kebakaran yang terjadi. Kerana sesungguhnya ia adalah asbab kepada takdir yang Allah tentukan untuk menjemput mereka ke alam abadi.

Berlapang dada lah. Mungkin kita lihat fizikalnya mereka menderita ketika berpisah nyawa, namun kita tidak tau roh mereka lah yang paling bahagia di sana.

Seperti juga mereka yang syahid, kita lihat mereka sakit dibunuh, namun mereka tersenyum saat melihat roh mereka naik ke atas langit.

Mereka sudah pasti di negeri abadi. Abadi. Nasib kita belum tentu lagi. Pengakhiran bagaimana takdir kita berpisah nyawa dari badan nanti, tidak kita ketahui. Moga kita di golongkan sebagai mereka-mereka yang mendapat khusnul khatimah. Amin.

An Nisa : 78 :
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh….”

Sumber – Mingguanwanita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *