Sebelas tahun hidap penyakit kanser, lelaki ini tempuh dengan penuh positif

Petaling Jaya: Sebelas tahun menghidap penyakit kanser darah atau leukemia bukan penghalang kepada bekas kakitangan bank, Abu Hurairah Bahari, 49, untuk terus bergiat aktif menjalani kehidupan.

Dia yang ditemui ketika Pameran Foto Pesakit Leukemia sempena Hari Leukemia Mieloid Kronik (CML) Sedunia anjuran Novartis Corporation Sdn Bhd (Novartis), di sini, semalam, mengakui pada awalnya bimbang apabila memikirkan nasib keluarga terutama empat anaknya yang masih bersekolah.

“Namun, saya menganggap penyakit ini sebagai cabaran yang perlu ditempuhi dengan penuh positif.

“Justeru, saya tidak pernah mengehadkan diri melakukan aktiviti lasak termasuk menyertai larian marathon dan mendaki gunung,” katanya.

Menurut Abu Hurairah, setiap pesakit leukemia perlu sentiasa berfikiran positif dengan beranggapan setiap penyakit ada ubatnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, pihaknya memperuntukkan RM2.6 juta setahun bagi rawatan leukemia.

“Dalam masa sama, KKM turut membelanjakan RM12.3 juta bagi membantu pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan pihak berkepentingan dalam menganjurkan program dan acara berkaitan CML,” katanya dalam ucapan perasmian yang disampaikan Timbalannya Datin Seri Dr Asmah Samat.

Terdahulu Norvatis dalam kenyataannya berkata, dianggarkan 1,600 pesakit CML dikenal pasti di seluruh negara dan 90 peratus daripadanya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan selebihnya adalah swasta.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *