Serangan tidak wajar terhadap PM mencerminkan ceteknya pemikiran mereka – Reezal

Tuduhan lawatan kerja Datuk Seri Najib Tun Razak ke White House baru-baru ini kononnya lawatan peribadi dinafikan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Jelas Reezal, Najib ke White House adalah diatas ‘tiket’ lawatan kerja yang merupakan jemputan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sendiri.

“Lawatan peribadi berlaku apabila Ketua Negara atau Ketua Kerajaan tiba di Amerika Syarikat tanpa undangan dari Presiden AS. Lawatan peribadi tidak termasuk lawatan ke White House,” katanya dipetik kenyataan kepada media.

Reezal menyatakan rasa kesalnya apabila sesetengah ahli politik pembangkang cuba mengelirukan rakyat dengan menggambarkan lawatan berkenaan adalah lawatan peribadi.

“Jika pembangkang telah melakukan lebih banyak penyelidikan, mereka akan menyedari bahawa Kerajaan Malaysia telah bersifat telus dan jelas mengenai status lawatan itu sejak berita itu pertama kali diberitahu.

“Berdasarkan protokol kontemporari Amerika, Presiden Amerika Syarikat boleh memanjangkan jemputan kepada Ketua Negara atau Ketua Kerajaan untuk lawatan kerja resmi atau lawatan kerja.

“Tempoh dan komponen kedua-dua kategori lawatan ini dipertimbangkan berdasarkan asas lawatan demi lawatan. Jemputan seperti itu biasanya adalah untuk perbincangan yang lebih substantif, dan terpisah dari unsur-unsur istiadat dalam lawatan negara atau lawatan rasmi. Lawatan kerja akan merangkumi mesyuarat kerja, dan penglibatan media adalah tidak wajib.

“Walau apa pun status kunjungan itu, undangan dari Presiden AS juga menandakan bahawa AS sebagai kerajaan tuan rumah secara rasmi mengiktiraf kenamaan asing itu, serta pentingnya kunjungan itu dalam konteks hubungan dua hala,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, sebaik tiba di Pangkalan Tentera Udara Gabungan Amerika Syarikat, Najib bersama delegasinya diberikan penghormatan penuh, bersesuaian dengan lawatan kerja yang diterimanya.

“Di White House, YAB Perdana Menteri disambut dengan mesra oleh Presiden Trump sendiri sebaik beliau tiba. Kedua-dua pemimpin itu bertemu selama 20 minit di Pejabat Oval yang bersejarah itu, diiringi oleh diplomat paling senior mereka.

“Ini diikuti dengan mesyuarat delegasi selama 40 minit di Bilik Kabinet, yang mana media AS dan antarabangsa telah membuat liputan sekitar 5 minit untuk sesi terbuka itu,” katanya.

Mesyuarat berkenaan dihadiri ahli pentadbiran kanan Trump termasuk Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rex Tillerson, Setiausaha Pertahanan James Mattis, Ketua Staf John Kelly, Penasihat Keselamatan Negara HR McMaster, Pengarah Majlis Ekonomi Negara Gary Cohn, Penasihat Kanan Jared Kushner, dan Duta Besar AS ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir.

“Ini menunjukkan penghormatan AS yang sangat tinggi terhadap YAB Perdana Menteri dan delegasinya,” katanya lagi.

Mengulas mengenai lokasi penginapan Najib dan delegasinya di Trump International Hotel yang menjadi asas kepada dakwaan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat bukan diatas lawatan rasmi, Reezal berkata, Malaysia bukan yang pertama menolak untuk menginap di Blair House yang menjadi lokasi penginapan Ketua Kerajaan atau Ketua Negara dalam lawatan rasmi ke Amerika.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, juga menolak pelawaan berkenaan diatas sebab-sebab tertentu ketika menerima undangan ke White House sebelum ini.

“Kesimpulannya, serangan yang tidak wajar terhadap YAB Perdana Menteri mencerminkan ceteknya pemikiran mereka yang membuat tuduhan-tuduhan ini dengan pemahaman singkat mereka mengenai hubungan dua hala kita dengan Amerika Syarikat.

“Saya mencadangkan bahawa ulasan dan pemerhatian masa depan mengenai bagaimana YAB Perdana Menteri menjalankan dasar luar Malaysia dibuat berdasarkan fakta, dan bukannya spekulasi semata-mata,” jelasnya.

 

Sumber – Malaysiandigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *