Siti Kasim tidak harus persoalkan ibadah korban, Orok harus hormati agama lain – Pemuda PAS

TEMERLOH – Pemuda dan Muslimat Pas Temerloh membuat laporan polis terhadap dua individu, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim dan David Orok yang membuat provokasi terhadap Islam kerana bimbang ia akan menjejaskan keselamatan negara.

Naib Ketua Pemuda Temerloh, Mohamad Shukri Shuib, 34, berharap pihak polis menyiasat kedua-dua individu ini dan ambil tindakan wajar jika didapati kenyataan kedua-duanya menerusi laman sosial Facebook (FB) boleh menimbulkan ancaman kepada ketenteraman awam.

Menurutnya, Pas kesal kerana mereka seolah-olah sengaja membuat provokasi untuk bermusuh dengan umat Islam berhubung isu korban yang diamalkan oleh masyarakat Islam di seluruh dunia.

“Sebagai seorang Islam, Siti Kasim tidak seharusnya mempersoalkan ibadah korban. Manakala bagi David Orok pula, dia seharusnya menghormati agama lain dan jangan mencari fasal dengan orang Islam,” katanya.

Katanya, Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan Yang Dipertuan Agong adalah ketua agama bagi persekutuan. Maka kedua-dua individu terbabit kami sifatkan sebagai cuba memperlekehkan Agong.

Sementara itu, Muslimat Temerloh juga membuat laporan yang sama terhadap kedua-dua individu tersebut.

Kira-kira 20 anggota Muslimat hadir ke Balai Polis Temerloh pada jam 10 semalam untuk membuat laporan polis.

Muslimat mendesak Siti Kasim dan David Orok memperbetulkan kenyataan mereka yang disifatkan sebagai menghina Islam dan ibadah korban.

“Pihak polis perlu bertindak tegas terhadap keduanya dan sesiapa juga yang menghina Islam sama ada melalui media sosial atau pun media lain. Mereka ini golongan tidak bertanggungjawab kerana cuba mencetuskan ketidakharmonian kaum dengan menimbulkan isu-isu sensitif,” kata wakil Muslimat.

Difahamkan Siti Kasim memuat naik kenyataan di dalam akaun FB miliknya pada 1 September dan 10 September lalu, manakala David Orok pada 5 September lalu.

 

Sumber – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *