Tak perlu kaitkan dengan keluarga, PPBM jika mahu beri teguran – Hamizura

IPOH – “Saya terima teguran dengan hati terbuka walaupun kenyataan maaf telah dibuat pada hari sama status itu dimuat naik,” kata Hamizura Osman berhubung teguran Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkurnain yang mendakwa adik Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman itu memuat naik status bersifat rasis di Facebook miliknya.

Menurutnya, dia bukan orang yang layak diberi perhatian kerana hanya ahli biasa dalam Bersatu.

Bagaimanapun, katanya, kegigihan Hasnul membuat kenyataan terhadap status itu menyebabkan dia terpanggil untuk memberikan maklum balas.

Jelasnya, kenyataan yang dibuatnya itu bersifat peribadi dan tidak perlu dikaitkan dengan keluarga mahu pun Bersatu.

“Hasnul juga cadangkan saya kembali kepada Umno, sebaliknya dia juga masih tebal dengan sifat Pas kerana tidak profesional dalam memberi teguran.

“Tak perlu kaitkan saya sebagai adik Naib Presiden Bersatu dan isteri Azrul Suhaidi jika mahu beri teguran,” katanya kepada Sinar Harian.

Hamiza berkata, Hasnul sepatutnya menegur dirinya sebagai Hamizura Osman kerana status di Facebook itu bersifat peribadi.

Ditanya mengenai tindakan disiplin parti terhadapnya, Hamizura berkata, dia menyerahkannya kepada pucuk pimpinan sama ada mahu tunduk atas desakan Ketua Pemuda Amanah Perak itu atau sebaliknya.

 

Sumber – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *