Taufan Talim dijangka badai Taiwan, China

TAIPEI – Taiwan mengeluarkan amaran kepada maritim dan syarikat penerbangan bahawa Taufan Talim dijangka membadai bandar-bandar termasuk ibu negara Taipei sebelum bergerak menuju China selain berpotensi bertukar menjadi taufan super.

Talim dijangka menambah kekuatannya apabila bergerak ke arah bandar-bandar utara Taiwan termasuk Taipei Baharu dan membawa angin kuat serta hujan lebat, kata Biro Cuaca Pusat semalam.

Kesan paling kuat diramal berlaku pada Rabu (semalam) dan Khamis (hari ini), kata biro berkenaan di laman webnya.

Taufan itu dijangka membadai bahagian utara dan timur laut dengan kelajuan angin 137 kilometer sejam (km/j) dan boleh meningkat kepada 173km/j.

Belum dipastikan sama ada kerajaan Taiwan akan menutup pasaran kewangan, syarikat atau sekolah hari ini.

Satu pengumuman akan dibuat semalam sekiranya penutupan dianggap perlu.

Dua syarikat penerbangan terbesar Taiwan, China Airlines dan EVA Airways mengumumkan akan membatalkan beberapa penerbangan antarabangsa masuk dan keluar dari negara itu.

Satu amaran trafik laut juga akan dikeluarkan oleh Biro Cuaca Pusat.

Pembekal minyak kedua terbesar Taiwan, Formosa Petrochemical Corp berkata, pihaknya bersedia untuk menutup pelabuhan bekalan sekiranya perlu apabila dihampiri Taufan Talim.

Taiwan sering dibadai taufan, namun pulau itu telah membuat persediaan berdepan mana-mana taufan kuat sejak dirempuh Taufan Morakat pada 2009.

Morakat merupakan taufan paling kuat dalam sejarah yang pernah melanda Taiwan menyebabkan kematian sehingga 700 orang dan kebanyakan mereka ditimbus tanah runtuh.

Seawal malam tadi, Talim mungkin bergerak di sepanjang pantai wilayah Zhejiang, utara Taiwan di tanah besar China apabila taufan kuat membawa angin kencang sehingga 48 meter sesaat, kata Pentadbiran Meteorologi China dalam satu kenyataan semalam.

Talim akan menjadi taufan super dengan kelajuan angin 52 meter sesaat lewat tengah hari ini sebelum membadai Zhejiang. – AFP

Sumber – kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *