Taufan Talim selaju 252 kilometer sejam badai selatan Jepun

TOKYO – Taufan Talim yang membawa angin selaju 252 kilometer sejam membadai beberapa pulau di selatan Jepun semalam dan memutuskan bekalan elektrik sewaktu menuju ke tanah besar negara itu.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran tanah runtuh dan ombak besar pada ketika ribut itu melalui gugusan kepulauan Oki­nawan. Taufan Talim juga membawa jumlah taburan hujan tinggi bagi tempoh 24 jam dalam sejarah 50 tahun bandar Miyako.

Menurut syarikat pembekal Kuasa Elektrik Oki­nawa, lebih 18,000 kediaman terputus bekalan elektrik di Miyako, sebuah bandar didiami kira-kira 54,000 penduduk 1,840 kilometer di barat daya Tokyo.

Agensi Kaji Cuaca Jepun menyatakan, taufan itu dijangka mendekati Pulau Kyushu pada Ahad ini. Media tempatan menyatakan, ribut itu membawa ancaman di tanah besar Jepun termasuk bandar Tokyo pada Isnin ini.

Ribut berskala besar lazimnya membadai Jepun, dengan 22 mangsa terkorban ketika Taufan Lion­rock memusnahkan negara itu pada September tahun lalu.

Pada Ogos lalu, Taufan Noru meragut dua nyawa dan mencederakan 51 individu lain. – AFP

Sumber – kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *