Tindakan Aminolhuda tunjuk kedangkalan, sikap tak profesional pembangkang – Aktivis

Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani Aminolhuda Hassan membidas Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dalam persidangan DUN Johor bahawa kadar kemiskinan negeri ini adalah sifar menunjukkan kedangkalan pembangkang.

Dalam satu kenyataan bersama oleh aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor Fikri Allaudin dan Hazim Md. Jani, mereka menyelar cubaan Aminolhuda menafikan perkara tersebut sedangkan ianya telah dihuraikan dengan panjang lebar dalam DUN sebelum ini.

“Kerunsingan Aminolhuda berhubung dengan kedudukan semasa kadar kemiskinan di Johor ini telah beliau bangkitkan dan sebenarnya telah dijawab dan dihujahkan dengan panjang lebar dalam DUN sebelum ini,” kenyataan tersebut berbunyi.

Mereka mempersoalkan adakah Aminolhuda, selaku pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Johor sedang cuba menonjolkan dirinya sendiri bagi menenggelamkan populariti Timbalan Presiden PAN Salehuddin Ayub, memandangkan kedua-duanya kini sedang berlumba serta bersaing sengit untuk menjadi lebih menonjol antara satu sama lain di Johor.

Kedua-dua aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor ini turut berkata Mohamed Khaled, dalam jawapannya dalam DUN berkata kerajaan negeri Johor mengukur kadar kemiskinan berdasarkan median isi rumah.

Menteri besar Johor tersebut berkata ini adalah indikator yang paling sesuai untuk digunakan jika Johor ingin membandingkan kedudukannya dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

“Selain daripada itu, Khaled turut menjelaskan bahawa kaedah tersebut dipilih untuk mengukur kadar kemiskinan di Johor kerana adalah tidak neutral dan tidak objektif jika Johor menggunakan kaedah dan pengiraan sendiri tanpa membandingkannya dengan negeri lain.

“Dan yang lebih penting menurut beliau, sekalipun kerajaan negeri Johor berpegang kepada rekod kemiskinan sifar yang dilaporkan oleh kerajaan Pusat, ia tidak sesekali bermakna bahawa program-program bantuan khas kepada yang memerlukan akan dihentikan. Sebaliknya, kesemua itu terus ditambah baik dari semasa ke semasa.”

Mereka turut menyarankan Aminolhuda untuk meneliti kajian yang telah dibuat oleh Khazanah Research Institute (KRI) yang telah dibentangkan pada 3 November 2016 di Persidangan Meja Bulat: Isu dan Cabaran Institusi Zakat di Malaysia.

Kajian tersebut menunjukkan Perlis turut berjaya memintas negeri Selangor dan Pulau Pinang dari segi kejayaan mengurangkan kadar kemiskinan dengan berada di tangga ke-5 sedangkan Selangor dan Pulau Pinang masing-masing menduduki tangga ke-6 dan ke-7.

“Sebenarnya, apa yang jelas daripada pertikaian ulangan oleh Aminollahuda itu adalah kegagalan beliau untuk memahami bahawa sekalipun seseorang itu sudah terlepas daripada garis kemiskinan, itu tidak sesekali bermakna yang mereka sudah tidak memerlukan apa-apa bantuan dan pertolongan.

“Pertikaian Aminolhuda hanya membuka pekung di dada dan menunjukkan kekontangan modal politik untuk menyerang Khaled dan kerajaan negeri. Beliau gagal mempamerkan ciri dan kualiti sebagai seorang wakil rakyat yang peka dengan fakta dan keadaan semasa.”

Mereka berkata tindakan Aminolhuda ini menunjukkan kedangkalan dan sikap tidak profesional pembangkang Johor yang enggan menerima dan mengiktiraf fakta dan kejayaan Johor.

 

Sumber – smasanews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *