Wajah melecur teruk akibat kemalangan elektrik bervoltan tinggi

“Berpantang maut, sebelum ajal” begitulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan semangat lelaki ini walaupun keseluruhan wajahnya melecur teruk akibat kemalangan elektrik yang dialaminya.

Dallas Wiens, 32 tahun yang berasal dari Fort Worth, Texas telah mengalami kemalangan elektrik bervoltan tinggi ketika sedang bekerja mengecat sebuah gereja. Tenaga elektrik tersebut telah menyambar mukanya dan kemudiannya merebak ke keseluruhan badannya mengakibatkan badannya terbakar dan melecur teruk.

Selain melecur teruk, beliau juga mengalami kecederaan tulang belakang yang serius yang boleh menyebabkan beliau lumpuh dari leher ke bawah. Ini menyebabkan pakar perubatan menganggap yang Dallas tidak mempunyai harapan untuk sembuh.

Kejadian yang berlaku pada tahun 2008 itu benar-benar mengubah hidup Dallas di mana beliau koma selama tiga bulan. Dan semasa koma, doktor telah berusaha sedaya upaya untuk merawat luka di badannya dengan menjalani berbelas siri pembedahan.

Dalam keadaan koma itu juga, Dallas telah diisytiharkan doktor akan buta sepenuhnya dan wajahnya tidak dapat diselamatkan di mana hidung, bibir, kening dan kedua belah matanya sudah tiada akibat melecur.

Apabila beliau sedar dari koma, Dallas tidak terus berputus asa walaupun menyedari keadaan dirinya. Motivasi dan semangat dari anak perempuannya yang ketika itu berusia 2 tahun telah membuat jiwanya kuat untuk bertahan dan berusaha untuk pulih dari kecederaan yang dialaminya.

Perasaan kasih dan sayang yang kuat terhadap anak perempuannya adalah semata-mata mahu merasai semula ciuman dan sentuhan daripada anak perempuan kesayangannya.

Beliau mula belajar untuk bertutur dengan menggunakan lidah dan gigi dan enggan menggunakan kerusi roda walaupun doktor mengatakan yang dirinya akan lumpuh seumur hidup.

Tidak mudah berputus asa, Dallas berusaha untuk menggerakkan seluruh badannya dengan bersenam dan membanyakkan pergerakan dan enggan terlantar di katil hospital.

Melihat perkembangan yang membanggakan pada kesihatan Dallas, pada musim bunga tahun 2009 Dallas telah dibenarkan untuk keluar dari hospital.

Apa yang membanggakan, tidak lama kemudian iaitu pada May 2010, Dallas mampu berjalan semula tanpa pertolongan. Sungguhpun gembira, usaha Dallas tidak terhenti setakat itu.

Dallas telah menemui doktor pakar tentang keinginannya untuk merasai sentuhan pada mukanya semula. Dr. Jeff Janis yang merupakan pakar bedah plastik telah mencadangkan Dallas untuk melakukan pemindahan wajah lengkap. Tanpa berfikir panjang, Dallas telah menerima tawaran tersebut dan bersetuju untuk menanggung segala risiko pembedahan yang rumit itu.

Pembedahan pemindahan wajah tersebut telah dijalankan di Hospital Wanita Brigham pada tahunn 2011 adalah merupakan prosedur pembedahan yang pertama dijalankan di Amerika Syarikat dan yang ketiga di dunia dan diketuai oleh Dr Bohdan Pomahac dan dengan bantuan seramai 30 orang pakar bedah termasuk doktor dan kakitangan hospital yang lain.

“Saya boleh hidup seperti ini tetapi tidak mahu begitu kerana saya mempunyai anak perempuan. Saya mahu merasai kembali ciumannya di wajah ini,”ujar Dallas kepada media.

Pembedahan yang mengambil masa selama 17 jam tersebut telah berjaya dan melakar sejarah perubatan di Amerika Syarikat. Sungguhpun mata Dallas tidak dapat diselamatkan, namun keseluruhan wajah beliau telah dapat dibentuk dan beliau dapat merasa deria sentuhan pada wajahnya semula.

Saat yang paling menggembirakan bagi Dallas adalah apabila beliau akhirnya dapat merasa ciuman anak perempuan di wajahnya serta kata-kata anaknya yang membuat hatinya berbunga. Bukan itu sahaja, beliau akhirnya dapat menggunakan kembali hidungnya.

“Ayah sangat kacak,” merupakan kata-kata hikmat dari anaknya.

Kegembiraan Dallas tidak terhenti hanya setakat itu, di mana beliau akhirnya bertemu jodoh dan berkahwin dengan kekasih hatinya, Jamie Nash dari Garland yang juga merupakan rakan dari kumpulan sokongan mangsa kebakaran.

Jamie juga hampir menemui maut ketika kemalangan kereta yang menimpanya pada tahun 2010 hingga menyebabkan kedua lengan, bahagian belakang dan kakinya melecur teruk.

Pasangan ini telah disatukan pada 2013 di gereja yang sama ketika Dallas mendapat kemalangan yang mengubah kehidupannya.

“Di sinilah saya telah tercedera dan di sini juga saya telah dilahirkan. Di sini bermulanya perjalanan hidup saya yang lebih bermakna dan hebat,” kata Dallas.

Dallas yang kini berumur 32 tahun bersyukur dengan apa yang dimilikinya kini dan mengakui pengalamannya telah menjadikan dia seorang manusia yang lebih hebat dari sebelumnya.

Kata mereka, “Kami melalui segala kepahitan , kesengsaraan dan dugaan. Dan kami mahu memberi semua orang dengan harapan.”

Sumber – selendangmaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *