William Leong: Ketegangan dalam PH boleh reda menerusi penjelasan Anwar

SHAH ALAM: Perbalahan dalaman di kalangan Pakatan Harapan (PH) berkenaan rundingan dengan PAS perlu diselesaikan menerusi kenyataan daripada Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, William Leong mengulas warkah Anwar beberapa minggu lalu, yang dipercayai menjadi punca kepada perbalahan parti-parti komponen gabungan pembangkang itu.

Warkah Anwar, yang merestui rundingan PKR yang diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan PAS, bagaimanapun bercanggah dengan ketetapan yang diambil Majlis Presiden PH 29 Ogos lalu yang telah menutup pintu rundingan dengan PAS dan bersedia dengan pertandingan tiga penjuru.

“Keputusan (oleh PH dan Anwar) dilihat bercanggah, saya berpendapat majlis presiden Pakatan Harapan perlu mendapatkan penjelasan daripada PKR mengenai pendirian parti mengenai perkara itu,” kata William.

William pada Ogos lalu menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli Biro Politik PKR kerana tidak bersetuju dengan langkah parti meneruskan rundingan dengan PAS.

Surat peletakan jawatan itu bagaimanapun tidak diterima Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pada itu William berkata keputusan PH sepatutnya ‘lebih tinggi’ daripada keputusan Anwar, namun perbincangan masih diteruskan kerana apa sahaja keputusan oleh gabungan itu dilakukan secara konsensus.

Malah Ahli Parlimen Selayang itu juga mahu pemimpin parti menyelami hasrat akar umbi supaya tidak lagi mahu parti atau gabungan itu bersama PAS.

“Kepimpinan PKR mesti rasai perasaan akar umbi, lebih baik tahu hari ini daripada kecewa pada hari mengundi.

“Apabila orang kecewa, mereka sama ada mengundi menentang (HARAPAN) atau mereka tidak mahu keluar mengundi,” katanya.

 

Sumber -ai-/Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *