7 produk kosmetik diharamkan dan dibatalkan pengedarannya berkuat kuasa serta-merta

Berikutan dikesan mengandungi racun hidrokuinon, tretinoin dan merkuri, tujuh produk kosmetik yang berada di pasaran diharamkan dan dibatalkan pengedarannya berkuat kuasa serta-merta.

Memetik laporan Berita Harian, arahan tersebut dikeluarkan menerusi satu kenyataan oleh Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Antara jenama produk yang diharamkan termasuk :

1. D’Solve Plus, Nuriz Kosmetik (mengandungi hidrokuinon dan tretinoin)

2. Krim pemutih 3 dalam 1, Nuriz Kosmetik

3. Penyegar wajah Cantiqa, Pusratu Global Academy (hidrokuinon)

4. Penyegar wajah Rzac Platinum, R-ZAC Sdn Bhd (hidrokuinon).

5. Magic Cream, Malia Mellia (merkuri)

6. Krim siang Dnars, Onew Cosmetics (merkuri)

7. Krim malam Dollys Pinky, Legacy Jaya Enterprise (merkuri).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan sekiranya penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut masih dijalankan, penjual terbabit dianggap melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Mereka yang melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.”

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.”

Dr Noor Hisham berkata, orang awam yang menggunakan tujuh produk kosmetik itu dinasihatkan menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat pakar kesihatan jika mengalami ketidakselesaan atau kesan buruk.

Sementara itu, orang ramai boleh mengajukan pertanyaan berkaitan produk kosmetik kepada kosmetik@npra.gov.my atau menghubungi talian 03-78835400.

Sumber – CARI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *