Bandar Hawija bebas dari cengkaman Daish

Baghdad: Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi semalam mengumumkan tenteranya berjaya menawan semula kubu terakhir Daish, Hawija, semalam.

“Saya isytiharkan bandar Hawija kini dibebaskan daripada cengkaman Daish. Pihak tentera kini cuma perlu menjalankan operasi pembersihan di kawasan pinggir bandar,” katanya selepas menemui Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Paris.

Komander tentera Iraq Leftenan Jeneral Abdel Amir Yarallah terdahulu semalam mengumumkan kejayaannya merampas semula pusat bandar juga kubu kuat terakhir Daish itu, seterusnya semakin hampir menumpaskan sepenuhnya kumpulan militan berkenaan.

Hawija antara kubu terakhir di wilayah yang dirampas kumpulan berkenaan pada 2014 dan rampasan semula oleh tentera kerajaan itu bererti jumlah kawasan ditawan militan terbabit semakin berkurangan dengan cuma sedikit kawasan berhampiran Sungai Furat masih dikuasai mereka.

Kerajaan melancarkan serangan terhadap Hawija sejak 21 lalu susulan kejayaan tentera Iraq merampas semula Mosul – sebelum ini pusat pentadbiran Daish – pada Julai lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Selasa lalu, menganggarkan 12,500 orang awam meninggalkan Hawija sejak serangan.

Ia turut menganggarkan bahawa terdapat kira-kira 78,000 penduduk masih berada di bandar itu dan memberitahu sudah menubuhkan pusat pemeriksaan, kem serta tapak kecemasan untuk menerima kedatangan mereka yang mungkin melarikan diri dari bandar terbabit.

Hawija yang terletak 230 kilomter dari Baghdad, antara satu daripada dua kawasan penting di Iraq yang masih dikuasai Daish, bersama Lembah Furat berhampiran sempadan Syria yang juga sedang berdepan serangan.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *