Bandar PyeongChang sedia menyambut kunjungan lebih sejuta pelawat

PYEONGCHANG – Bandar PyeongChang, sekitar 180km dari Seoul, sudah bersedia untuk menyambut kunjungan lebih sejuta pelawat apabila membuka tirai Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 , Februari depan disusuli Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2018 pada bulan berikutnya.

Terletak di wilayah Gangwon, PyeongChang dengan kepadatan penduduk lebih 40,000 orang, merupakan bandar ketiga selepas Sapporo,Jepun (1972) dan Nagano, Jepun (1998) dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk di rantau Asia.

Visi ‘New Horizons’ yang menghimpunkan generasi muda di pentas terbesar Asia bakal membuka lembaran baharu dalam sukan dwitahunan itu serta mencipta warisan baharu yang mampan untuk wilayah Gangwon dan negara republik itu.

Slogan ‘Passion, Connected’ dipilih melatari penganjuran sukan yang membawa maksud simbol semangat tanpa melupakan keindahan budaya tradisional dan moden negara itu yang dihubungkan dengan teknologi canggih yang merentasi generasi.

Menurut Pengurus Projek pasukan Perhubungan Awam, Jawatankuasa Penganjuran Wow! PyeongChang 2018, Jinsoo Lim venue pertandingan di PyeongChang, Jeongseon dan Gangneung yang serba moden sudah dilengkapi dengan sistem teknologi paling canggih.

Bercakap kepada wartawan ASEAN di sini, Lim berkata berkata enam venue sedia ada telah diubahsuai dan tujuh venue baharu termasuk Plaza Olimpik PyeongChang menawarkan persekitaran dan kemudahan yang terbaik sewajarnya dengan sambutan temasya sukan musim sejuk terhebat dunia.

Kumpulan wartawan kini mengikuti lawatan sembilan hari ke Korea Selatan dari 12 Okt di bawah Program Pertukaran Lawatan Media ASEAN-Korea.

Lim berkata Plaza Olimpik PyeongChang merupakan venue untuk majlis perasmian dan penutupan temasya sukan itu manakala lapan lagi venue pertandingan iain ialah Gugusan Pergunungan PyeongChang dan lima di Gugusan Perairan Pantai Gangneung.

Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 akan berlangsung dari 9 hingga 25 Feb manakala temasya Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2018 akan diadakan dari 9 hingga 18 Mac depan.

Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) dengan kapasiti 6,000 orang terletak di PyeongChang manakala dua Perkampungan Sukan iaitu PyeongChang menyediakan 600 bilik penginapan atlet dan pegawai dan 922 bilik di Gangneung. – Bernama

Sumber – sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *