Beberapa kawasan sekitar Alor Setar dinaiki air akibat banjir kilat

BEBERAPA kawasan sekitar bandaraya Alor Setar dinaiki air antara 0.3 hingga satu meter akibat banjir kilat selepas hujan lebat lebih tiga jam hari ini.

Antara lokasi yang dinaiki air adalah Bukit Pinang, Kepala Batas, Taman Mergong, Jalan Sultanah Bahiyah, Jalan Teluk Wanjah dan Kampung Tok Jalai.

Selain itu, dua jalan utama yang ditenggelami air adalah Jalan Alor Setar- Hutan Kampung dan Alor Setar-Kepala Batas, manakala jalan alternatif atau jalan kampung, turut dinaiki air.

Banjir kilat berlaku apabila air mula melimpah selepas beberapa longkang utama dan sungai gagal menampung jumlah air yang banyak susulan hujan lebat sejak jam 6 pagi.

Malah, lebih 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pinang, Alor Setar terpaksa dipindahkan ke tempat selamat sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air naik ke paras lutut.

Selain itu, tinjauan juga mendapati air turut memasuki kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Omar.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berkata, walaupun ada sekolah yang dinaiki air namun setakat ini tiada arahan penutupan sekolah.

Sementara itu, Penyelaras Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai banjir kilat yang berlaku di SK Bukit Pinang pada jam 10.30 pagi.

Menurutnya, sepasukan unit kecemasan bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda bergegas ke lokasi bagi membantu memindahkan murid sekolah yang terkandas.

“Semua murid terbabit dipindahkan ke kawasan tinggi sebelum diambil keluarga masing-masing.

“Kami menjangkakan banjir kilat ini akan surut menjelang petang kerana hujan sudah mula beransur reda. Buat masa ini, semua anggota APM diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera,” katanya.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *