“Kalau Azmin jadi PM, tak tahu apa jadi kepada Malaysia nanti”

Forum ‘Robohan Subang – Mimpi Ngeri Sebuah Kerajaan Peduli Rakyat’ di Bangsar, semalam menjadi medan tohmahan terhadap kerajaan negeri Selangor serta kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali.

Forum bertujuan untuk menentukan nasib dua penduduk didalam kawasan perkarangan Masjid Subang yang diroboh oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 4 Oktober lalu memperlihatkan hadirin tidak berpuas hati dengan keputusan kejam kerajaan negeri.

Salah seorang hadirin, Mohd Ismath Habib Mohamad berkata, beliau kecewa dengan pemerintahan Azmin selaku Menteri Besar daripada kerajaan dipilih oleh rakyat Selangor pada 2013 sanggup bertindak kejam terhadap rakyat.

“Belum jadi Perdana Menteri sudah zalim seperti (pemerintahan) Mahathir dahulu. Kalau dia (Azmin) jadi Perdana Menteri, tak tahu apa jadi kepada Malaysia nanti,” ujarnya semasa sesi soal balas antara hadirin dan ahli panel.

Ahli panel forum berkenaan terdiri daripada Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (Chegubard); Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), A Sivarajan; AJK Pusat PSM, S Arulchelvan, dan dua mangsa perobohan oleh kerajaan negeri, Abd. Razak Said dan Yaakob Abdul.

Forum dipengerusikan moderator, Syukri Razab dari Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Ismath, bapa kepada Ketua Pemuda PSM, Khalid Mohd Ismath, menegaskan bahawa beliau bersama kumpulan reformasi lain berjuang bermati-matian bagi memenangkan Pakatan Harapan sehingga berjaya membentuk kerajaan Selangor pada 2008.

Namun tidak menyangka, kerajaan kini lebih teruk daripada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dibawah Menteri Besar Datuk Seri Dr Khir Toyo.

“Saya mempunyai hak diatas nama rakyat untuk melabelkan Menteri Besar saya di negeri Selangor ini, yang saya turut berkempen di Pilihan Raya Umum, bermati-matian untuk memenangkan kerajaan Pakatan Rakyat yang kini dikenali sebagai Pakatan Harapan – apabila sudah memerintah, lebih zalim daripada Khir Toyo, lebih teruk daripada Mahathir.

Turut membidas Azmin, Nasirudin Mohamad yang memperkenalkan dirinya sebagai ahli PKR.

Ujarnya, walaupun beliau kini dianggap sebagai pengkhianat oleh PKR kerana membuka pekung parti, kerajaan negeri perlu ditegur kerana kezaliman oleh Azmin sudah melampau.

“Hari ini dua rakyat tak boleh dibela oleh kerajaan negeri. Lihat sendiri, Encik Razak adalah seorang OKU. Seorang OKU tidak boleh mendapat pembelaan Menteri Besar.

“Inilah dia pengkhianat yang diberi mandat oleh rakyat, tetapi angkara tamak haloba dan rakus ketirisan menunggu satu imbuhan besar untuk beliau dan juga kroni-kroninya,” tegasnya.

Kediaman Razak dan Yakob dirobohkan oleh penguatkuasa Selangor pada minggu lalu bagi memberi laluan kepada Pusat Aeroangkasa Antarabangsa Malaysia (MIAC) – sebuah projek dibawah kelolaan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Kedua-dua pemilik kediaman berkenaan dikatakan menceroboh tapak masjid walaupun sudah diberi kebenaran untuk menetap dikawasan berkenaan lebih 20 tahun.

Isu berkenaan pernah dibawa ke pengetahuan Menteri Besar namun Azmin menolaknya dan menyifatkan tanah berkenaan dibawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Seramai enam ahli PSM diberkas ketika cuba menghalan kerja-kerja perobohan kediaman Razak dan Yakob pada 4 Oktober lalu.

 

Sumber – Malaysiandigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *