‘Box Jellyfish’ Yang Merbahaya Ditemui Membiak di Laut Malaysia

Untuk satu tempoh masa yang lama, netizen atau pelancong di Pulau Pinang boleh pergi dan berenang ke dalam laut tanpa perlu memikirkan sebarang bahaya yang akan melanda mereka tetapi kini tidak lagi.

Ini kerana, baru-baru ini terdapat dua spesis obor-obor kotak atau ‘box jellyfish’ yang selama ini tidak pernah dijumpai di perairan Malaysia ditemui sepanjang pantai Pulau Pinang dan jumlah obor-obor itu juga telah meningkat.

Obor-obor kotak jenis ‘Chiropsoides Buitendijki’ dan ‘Morbakka sp’ itu dikatakan sangat merbahaya dan boleh membawa maut.

Oleh itu orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyentuh obor-obor itu kerana racun yang terdapat padanya boleh menyebabkan berlakunya sindrom Irukandji. Gejala kepada sindrom itu adalah tekanan yang teruk, sakit belakang melampau, mual, muntah-muntah, kekejangan, sukar bernafas serta kegagalan jantung.

Menurut ahli biologi marin, Sim Yee Kwan, meskipun, kedua-dua jenis obor-obor itu tidak sebahaya seperti Australian Box Jellyfish yang terkenal, tetapi spesis obor-obor itu masih berbahaya kepada kanak-kanak, orang tua dan juga individu yang lemah.

Kedua-dua spesis obor-obor itu berada di dua dalam setiap kilometer persegi laut sehingga 400 meter dari pantai.

Sebagai perenang pasif, mereka akan datang dekat ke pantai semasa air pasang apabila arus air laut lemah.  Itu adalah masa yang paling bahaya untuk perenang.

Sim telah pergi ke beberapa pantai sejak dari bulan Julai lalu demi menangkap obor-obor dan obor-obor kotak terbesar yang pernah ditangkapnya adalah sebesar 18cm di 200 meter dari pantai Bersih, Butterworth.

Pengarah Cemacs, Prof. Datuk Dr Aileen Tan mengatakan, “Ini adalah spesis invasif.  Kemungkinan besar, telur mereka telah dibawa ke perairan kita melalui kapal kargo.”

Bahagian yang paling menakutkan untuk isu yang membimbangkan ini adalah cuaca yang sukar diramalkan sehingga boleh mengubah suhu serta kemasinan air laut secara ketara, yang mungkin menyebabkan obor-obor pembawa maut itu hidup subur di seluruh Pulau Pinang dan Selat Melaka.

Sementara itu, pada awal bulan Febuari lalu, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang sedang berenang di Teluk Bahang telah koma selama tiga hari selepas disengat oleh obor-obor kotak itu. –utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *