Changi buka terminal canggih dengan sistem daftar masuk automatik

SINGAPURA: Lapangan Terbang Antarabangsa Changi membuka terminal canggih hari ini dengan sistem daftar masuk automatik sepenuhnya, termasuk imbasan wajah dan meletak bagasi berkomputer.

Namun, sesetengah penumpang bergelut menyesuaikan diri dengan teknologi baharu itu.

Terminal 4, dibina dengan kos S$985 juta (RM3.06 bilion) boleh memuatkan kapasiti tahunan 16 juta penumpang dan menyasar menangani jangkaan peningkatan jumlah pelawat di hab terkenal Asia itu.

Ia dipenuhi teknologi baharu, bermaksud penumpang secara teori perlu berupaya mendaftar masuk dan menaiki pesawat tanpa berhubung dengan kakitangan lapangan terbang.

Pada hari pertama operasi, lebih 100 penumpang tiba pagi ini untuk merasmikan perkhidmatan itu, penerbangan Cathay Pacific menuju ke Hong Kong.

Namun, bukan semua orang berjaya menggunakan mesin daftar masuk layan diri itu, memaksa pelawat menggunakan kaunter dikendalikan kakitangan lapangan terbang.

“Saya fikir, ia mengambil masa untuk pelawat menyesuaikan diri dengan sistem,” kata Loh K Ling, yang cuba menggunakan dua mesin layan diri sebelum mengalah dan pergi ke kaunter.

Di pintu berlepas, beberapa penumpang juga berdepan masalah menggunakan teknologi imbasan wajah dan diarah ke kaunter.

Changi, sering diundi sebagai lapangan terbang terbaik dunia, antara hab yang sering memperkenalkan teknologi baharu disebabkan kekerapan penerbangan untuk pelawat jarak jauh.

Bersama-sama hab seperti Hong Kong dan Dubai, ibu kota ini berusaha menarik sejumlah besar penumpang dalam lawatan ke Australia dan Eropah, yang boleh memilih mengubah perjalanan mereka.

Peningkatan jumlah pelawat dari China ke Asia Tenggara membawa kepada persaingan hebat di antara Singapura dan hab tempatan lain, seperti Bangkok dan Kuala Lumpur bagi menarik penumpang baharu. – AFP

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *