Dakwaan cubaan Russia sebarkan maklumat salah di Facebook

WASHINGTON: Facebook Inc melaporkan pengendali berpusat di Russia menerbitkan 80,000 catatan di media sosial sepanjang dua tahun dalam usaha mempengaruhi situasi politik di Amerika Syarikat (AS).

Berikutan itu, kira-kira 126 juta rakyat AS membaca catatan berkenaan.

Facebook mendedahkan butiran capaian catatan Russia dalam keterangan bertulis kepada pembuat dasar AS.

Kakitangan eksekutif di Facebook, Twitter Inc dan Alphabet Inc’s Google dijangka hadir bertemu tiga jawatankuasa Kongres minggu ini untuk memberi keterangan atas dakwaan cubaan Russia menyebarkan maklumat salah, beberapa bulan sebelum dan selepas Pilihan Raya Presiden AS 2016.

Bagaimanapun, kerajaan Russia menafikan sebarang percubaan mengalih persekitaran pilihan raya, menyaksikan Presiden Donald Trump dari Republikan mengalahkan calon Demokrat, Hillary Clinton.

Peguam mewakili Facebook, Colin Stretch berkata, dalam keterangan bertulis, 80,000 catatan daripada Agensi Penyelidikan Internet Russia adalah sebahagian kecil kandungan di Facebook, bersamaan satu daripada 23,000 catatan.

Dalam keterangannya, Stretch berkata, tulisan berkenaan melanggar syarat perkhidmatan Facebook, namun banyak aktiviti seumpamanya dilakukan menggunakan akaun palsu.

“Tindakan ini bertentangan dengan misi pembangunan komuniti Facebook dan segala pendirian yang kami pertahankan. Kami bertekad menangani ancaman baharu itu,” tulisnya.

Menurut Facebook, 80,000 catatan itu disiarkan antara Jun 2015 dan Ogos lalu, kebanyakannya memfokuskan mesej untuk memecah belahkan dari segi sosial, politik, hubungan perkauman dan hak memiliki senjata. -Reuters

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *