“DAP tak berapa ‘pakai’ Zaid, kita dengar-dengar jelah” – Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim diibaratkan seperti seekor buaya yang sanggup menjadi haiwan lain selepas bertukar kandang semata-mata untuk diterima dan mengelak daripada dibaham.

Malah, ahli DAP itu terpaksa bertukar menjadi seekor harimau apabila berada di dalam kandang haiwan yang sama agar tidak dimakan pemangsa yang berada di dalam kandang sama, sindir Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia itu berkata, buaya tetap akan menjadi buaya meskipun memakai kulit haiwan lain.

Annuar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas menteri undang-undang itu bahawa Lim Kit Siang mampu menjadi perdana menteri yang lebih baik berbanding sesiapa sahaja di dalam UMNO.

“Saya gembira bila Zaid buat kenyataan bahawa Kit Siang adalah pilihan yang tepat untuk jadi Perdana Menteri berbanding pemimpin yang ada dalam UMNO.

“Sebab sebelum ni bila ada org kata Kit Siang nak jadi PM, ada orang lain yang menggelabah menafikannya. Sekurang-kurangnya, Zaid telah bagi pengesahan bahawa Kit Siang ada ciri-ciri jadi PM.

“Saya ucap tahniah kepada Zaid sebab dia secara tulennya di-DAPkan,” katanya berseloroh.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media selepas program Diskusi UMNO Online: ‘Anda tanya Kita Jawab bertajuk Golongan Muda Anti Establishment di PWTC di sini hari ini.

“I wish him good luck. Bukan apa, kadang- kadang kita bersuara pada lidah tetapi hati kita kata lain. Saya percaya Zaid juga tidak terlepas daripada keadaan itu.

“Hatinya kata lain, tetapi dia terpaksa bersuara seperti itu sebab dia berada dalam DAP.

“Kita dah lama berpolitik, kita faham bahasa dia. Tak apalah…DAP tak berapa ‘pakai’ Zaid, kita dengar-dengar jelah,” katanya lagi.

Zaid sebelum ini pernah menuduh UMNO menyasarkan Kit Siang sebagai modal politik kerana kehabisan idea.

 

Sumber – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *