Etnik Islam Rohingya tidak diiktiraf penduduk asal, Myanmar cari alasan menindas

YANGON – Etnik Islam Rohingya tidak diiktiraf sebagai penduduk asal Myanmar dan dibawa masuk ke negara ini oleh penjajah ketika era kolonial terdahulu, sekali gus dijadikan alasan oleh tentera Myanmar untuk menindas golongan minoriti tersebut.

Ketua junta tentera Myanmar, Komander Min Aung Hlaing ketika mengadakan pertemuan dengan Duta Amerika Syarikat (AS) ke negara ini, Scot Marciel menyatakan bahawa penjajah kolonial Britain yang bertanggungjawab membawa etnik Rohingya masuk ke negara ini dan bukannya orang asal Myanmar.

“Etnik itu bukan penduduk asal Myanmar dan rekod sejarah membuktikan mereka juga tidak dipanggil Rohingya sebaliknya digelar sebagai Bengali ketika era kolonial,” katanya.

Aung Hlaing dalam pada itu menuduh media antarabangsa sengaja memperbesarkan laporan mengenai jumlah pelarian Rohingya ke Bangladesh yang kini sudah mencecah sehingga 520,000 orang sejak 25 Ogos lalu.

Katanya, kebanyakan laporan media tidak menunjukkan situasi sebenar yang berlaku di Rakhine dan etnik Rohingya.

“Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA) bertanggungjawab memulakan sera­ngan terhadap anggota tentera Myanmar yang akhirnya membawa kepada keganasan. Etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh kerana mereka yang memulakan serangan dan berasa tidak selamat untuk terus berada di Rakhine,” jelasnya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan pasukan tentera negara ini memaksa Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dengan senga­ja membakar kediaman, tanaman dan perkampungan mereka bagi memastikan etnik tersebut tidak kembali ke Rakhine.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi sebelum ini berjanji untuk menerima semula semua pelarian Rohingya berdasarkan perjanjian dengan Bangladesh.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Politik PBB, Jeffrey Feltman dijangka melawat Myanmar esok. – REUTERS

Sumber –utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *