Facebook di minta beri maklumat berkaitan Russia

LONDON: Jawatankuasa Parlimen Britain menulis surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, meminta maklumat mengenai sebarang aktiviti berbayar oleh akaun media sosial itu yang ada kaitan dengan Russia ketika pungutan suara Kesatuan Eropah 2016 dan pilihan raya Jun lalu.

Permintaan dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Digital, Media dan Sukan Parlimen, Damian Collins, sebagai sebahagian usahanya mengumpulkan bukti bagi siasatan yang dijalankan mengenai berita palsu.

“Sebahagian siasatan akan menumpukan peranan orang asing menyalah guna platform seperti dimiliki anda untuk campur tangan dalam politik negara lain,” tulis Collins dalam surat kepada Zuckerberg yang diedarkan kepada media.

Beliau meminta Facebook menyediakan contoh semua iklan yang dibeli akaun berkaitan Russia, semua laman yang dibangunkan, maklumat sasaran iklan dan laman berkenaan dan berapa banyak ia ditonton.

“Saya percaya maklumat yang saya minta selari dengan apa yang dibekalkan kepada Facebook kepada beberapa Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat, termasuk Jawatankuasa Perisikan Senat, berkaitan pilihan raya AS 2016,” katanya.

Jawatankuasa ahli perundangan Britain melancarkan siasatan mengenai berita palsu Januari lalu tetapi digantung apabila pilihan raya diumumkan akan diadakan pada Jun.

Tarikh tutup menyerahkan bukti adalah pada 7 November. – Reuters

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *