Gambar tular di media sosial, kini jadi buruan agensi model

BAGAIKAN mimpi jadi kenyataan. Begitulah jalan hidup Anok Yai yang kini mula mendapat perhatian ramai selepas gambarnya menjadi tular baru-baru ini.

Pelajar Universiti Plymouth State di New Hampshire itu kini menjadi buruan agensi model selepas gambarnya ketika menghadiri majlis di Universiti Howard di Washington tersebar.

Ribuan komen yang diterima menganggap remaja berusia 19 tahun ini berpotensi menjadi model.

Dibesarkan di Manchester, New Hampshire, gambar gadis ini telah dirakam jurugambar pada majlis berkenaan dan dimuat naik pada akaun Instagram theSUNK.

Kapsyen pada gambar itu tertera: “Saya ternampak dia pada akhir acara Yardfest. Menakjubkan @anokyai”.

Gambar berkenaan telah mendapat lebih 11,000 tanda suka pada Ahad dan ia sesuatu yang mengejutkan buat remaja itu.

“Telefon saya tidak henti berbunyi, pada mulanya saya sangkakan ada pihak yang cuba mempermainkan saya,” katanya mengenai gambarnya yang tular itu.

Malahan, aplikasi media sosialnya juga mendapat ‘tagging’ dari pelbagai agensi model.

Pelajar biokimia itu berhijrah ke Amerika Syarikat daripada Mesir pada 2000 dan dia sememangnya berminat dengan fesyen dan seni.

“Dunia peragaan adalah impian saya tetapi saya tidak pasti ia boleh menjadi kenyataan atau tidak,” katanya.

Sumber –mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *