Gas karbon dioksida di atmosfera bumi catat rekod tertinggi

Geneva: Jumlah gas karbon dioksida di atmosfera bumi meningkat paling tinggi pernah direkodkan pada 2016 ke tahap yang tidak pernah dilihat sejak berjuta-juta tahun.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan kenaikan paras laut kepada 20 meter dan meningkatkan suhu kepada 3 darjah Celsius.

Kepekatan karbon dioksida (CO2) di atmosfera, gas rumah hijau buatan manusia, mencecah 403.3 bahagian per juta (ppm), meningkat daripada 400.0 ppm pada 2015, kata Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada buletin tahunan Gas Rumah Kaca.

Kadar pertumbuhan itu 50 peratus lebih cepat daripada purata tahunan sejak sedekad lalu, menjadikan tahap CO2 45 peratus di atas paras pra-industri.

Keadaan itu jauh di luar julat 180 hingga 280 ppm yang dilihat dalam kitaran zaman ais dan tempoh yang lebih panas baru-baru ini.

“Kepekatan CO2 sebanyak 400 ppm hari ini melebihi kebolehubahan semula jadi yang dilihat sejak beratus ribu tahun,” kata buletin WMO.

Menurutnya, pelepasan CO2 dari sumber seperti arang, minyak, simen dan penebangan hutan mencecah rekod tertinggi pada 2016 dan corak cuaca El Nino memberikan peningkatan pada tahap CO2.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *