Gunung Sinabung di wilayah Sumatera Utara meletus

JAKARTA: Gunung Sinabung yang terletak dalam daerah Karo di wilayah Sumatera Utara meletus awal pagi Khamis dan menyemburkan abu sejauh dua kilometer ke langit, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai kanan agensi bencana.

Letusan itu berlaku pukul 2.45 pagi waktu tempatan diikuti beberapa gegaran serta semburan abu ke arah timur dan tenggara serta 1.5 kilometer ke selatan kawah gunung berapi tersebut, kata jurucakap bagi pengurusan bencana nasional Sutopo Purwo Nugroho.

“Bagaimanapun, letusan itu tidak mengakibatkan kematian atau mencetuskan pemindahan baharu,” katanya kepada Xinhua menerusi satu mesej teks.

Pada Rabu, gunung berapi itu turut meletus dan menyemburkan abu setinggi 1.5 kilometer, kata Sutopo.

Gunung Sinabung telah diletak di bawah tahap amaran sejak 2 Julai 2015 dengan zon tidak boleh masuk sejauh tujuh kilometer di selatan, tenggara dan timur kawah gunung berapi, katanya.

Gunung Sinabung adalah antara 129 gunung berapi yang masih aktif di Indonesia. – BERNAMA

SUmber – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *