Hanya Guan Eng sahaja tidak cukup cekap untuk menyedarinya – Azizi Safar

PULAU PINANG – Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang mengaitkan kelewatan projek tambak laut di Bagan Ajam, Butterworth sebagai punca gagal menyerahkan laporan kebolehlaksanaan terowong dasar laut disifatkan tidak wajar.

Ini kerana menurut Pengerusi Jawatankuasa Strategik UMNO Kepala Batas, Azizi Safar, Kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya menyedari mengenai projek tambak laut itu dan mencari alternatif kepada pelaksanaan projek terowong yang dirancang.

Ujar beliau, projek tambak laut Bagan Ajam diberikan kepada Rayston Consortium pada 1999 iaitu jauh lebih awal sebelum DAP memerintah Pulau Pinang pada Mac 2008.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan DAP Pulau Pinang mempunyai banyak masa untuk berbincang dengan Rayston Consortium pelan pembangunan projek tambakan laut di Bagan Ajam tersebut untuk disesuaikan dengan cadangan pembinaan terowong bawah dasar laut atau jambatan ketiga.

“Terowong dasar laut yang dicadangkan itu atau `timbul’ di kawasan Seri Tanjung Pinang (STP) di bahagian pulau atau lebih tepat di kawasan tambak laut Persiaran Gurney yang kini menjadi sebahagian dari projek STP2.

“Jika Lim Guan Eng boleh merunding semula terma-terma perjanjian termasuk menambah luas kawasan tambakan merangkumi kawasan persisir Persiaran Gurney (Gurney Wharf) dengan syarikat yang diberikan konsesi melaksanakan tambakan laut STP1 dan 2 bagi disesuaikan dengan jajaran jalan dan terowong, kenapa tidak boleh lakukan yang serupa dengan Rayston Consortium untuk jalan tuju atau sambungan ke terowong atau jambatan?” katanya.

Projek tambakan laut di Bagan Ajam adalah sebahagian dari projek Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth dan pembesaran Nothern Butterworth Container Terminal (NBCT).

Projek itu telah diberikan kepada Rayston Consortium pada 1999, syarikat yang terlibat dalam pemajuan Projek Lingkaran Luar Butterworth (BORR).

Sementara itu, Azizi menambah, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak sepatutnya berterusan menyalahkan pihak lain khususnya Kerajaan Pusat atas kegagalan melaksana projek yang dirancang mereka sendiri.

Ujarnya, adalah tidak cekap untuk Kerajaan DAP Pulau Pinang mengetepikan semua halangan atau kekangan yang ada sebelum melantik atau menandatangani kontrak perjanjian dengan satu syarikat bagi melaksanakan projek berkenaan.

“Ketidakbolehlaksanaan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut pada peringkat awal lagi sudah boleh diketahui.

“Hanya Ketua Menteri, Lim Guan Eng sahaja tidak cukup cekap untuk menyedarinya,” katanya.

 

Sumber – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *