Harga kerang mahal dilabel ‘makanan orang kaya’

Kuala Lumpur: Suatu ketika dulu, harga kerang jauh lebih murah berbanding hasil laut lain dan kerap menjadi pilihan masyarakat namun kebelakangan ini makanan laut itu semakin mahal hingga ada yang melabel ia ‘makanan orang kaya.’

Pegawai Penyelidik Bahagian Perancangan dan Pembangunan Jabatan Perikanan Malaysia Dr Alias Man mengakui, kenaikan mendadak harga kerang mempunyai kaitan dengan faktor pengeluaran yang semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kajian kita menunjukkan kualiti air berperanan penting untuk pembiakan kerang.

“Jika ada pencemaran, ia akan mempengaruhi pengeluaran dan benih kerang cepat mati.

“Trend kemerosotan kerang ini tidak hanya berlaku di Selangor saja, ia juga membabitkan pusat pengeluaran kerang di seluruh negara namun kita masih belum mengetahui punca sebenar kematian benih ini,” katanya.

Menurutnya, beberapa pelan pengurusan dirangka dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi menangani masalah ini terutama kematian kerang.

“Selain menyimpan induk kerang untuk tujuan pembenihan, kita perlukan kajian lanjutan di seluruh negara dalam pelbagai aspek untuk mengenal pasti punca sebenar kerang tidak dapat membiak dan membesar seperti dulu.

“Bagi saya, kemungkinan hal ini juga ada kaitan dengan masalah genetik yang mana benih berkenaan sudah tidak sesuai lagi digunakan untuk persekitaran sekarang dan kita perlu mencari atau membangunkan baka baru yang mempunyai ketahanan lebih baik untuk persekitaran kita,” katanya.

Katanya, buat masa ini penternak dinasihatkan mengurangkan kadar taburan benih bagi mengelakkan kerugian berganda.

“Faktor pengeluaran merosot ditambah pula dengan permintaan tinggi dari pelanggan menyebabkan kerang kecil pun kita lihat hari ini dijual mahal di pasaran,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di sekitar pasar, kedai runcit dan pasar raya sekitar Sentul dan Selayang mendapati tidak ramai peniaga hasil laut menjual kerang, malah jika ada mereka hanya menjual bekalan itu dengan harga jauh lebih mahal.

Ada segelintir peniaga menjual kerang gred C dengan harga RM9 sekilogram (kg) hingga RM14/kg, manakala kerang kopek dijual pada harga RM20/kg hingga RM26.90/kg.

Di Pasar Borong Selayang pula, bekalan itu agak mudah didapati pada harga RM3 bagi gred C, RM7 hingga RM8 (gred B) dan RM10 hingga RM12 (gred A).

Seorang peniaga yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka mengambil bekalan itu daripada pembekal di Kuala Selangor dengan kuantiti yang sedikit berbanding sebelum ini.

“Setiap hari kami hanya berani mengambil kira-kira 50kg saja, itupun kadang-kadang tak habis jual sebab harganya yang agak mahal,” katanya.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *