Hidup mati kita hanya bangsa kita yang jaga – Mat Taib

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengingatkan orang Melayu agar tidak mudah mendengar cerita daripada orang berkepentingan yang meminta tolong untuk mendapatkan sokongan.

Katanya, beliau memberikan ingatan itu kerana mendapati orang Melayu terutama di Selangor mudah diperkotak-katik dan digula-gulakan oleh bangsa lain.

“Saya nak bertemu dengan orang-orang Melayu. Saya nak ingat dan nasihatkan kepada orang Melayu, bahawa hidup mati kita hanya bangsa kita yang jaga.

“Kita kena jaga bangsa kita, kita tak boleh nak harapkan orang lain. Kita bukan rasis, kita bukan perkauman. Kita tak kata kita anti Cina, tidak.

“Tapi kita tak boleh benarkan kuasa dari (orang) Cina terutama DAP hendak menentukan siapa dalam kalangan calon Melayu hendak menang (pilihanraya umum),” katanya yang juga dikenali sebagai Mike Tyson dalam arena politik.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan rombongan Penerangan UMNO Selangor yang diketuai Datuk Zein Isma Ismail di kediamannya di sini semalam.

Pada 17 September lalu, Muhammad secara rasmi mengumumkan menyertai UMNO.

Pengumuman itu, dibacakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media khas di Ibu Pejabat UMNO.

Muhammad yang juga bekas Naib Presiden UMNO sebelum ini pernah menyertai Pas dan PKR sebelum kembali ke pangkuan UMNO.

Menurut Muhammad, orang Melayu di Selangor perlu diberi kesedaran tidak ada satu bangsa pun dalam dunia ini mengharapkan kepada bangsa lain untuk menjaga dirinya.

“Jadi, orang Melayu di negara ini perlu menjaga bangsa sendiri. Apabila bangsa lain berkuasa, hak Melayu akan hilang, hak Melayu tidak akan dijaga dengan baik,” ujarnya.

 

Sumber – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *