Ibu bapa serta orang dewasa elakkan ke kawasan air terjun di musim hujan

KEADAAN air terjun atau sungai yang jernih dan cetek tidak boleh dijadikan ukuran untuk orang ramai merasa selamat melakukan aktiviti rekreasi kerana ‘kepala air’ boleh berlaku sekiranya hujan di hulu sungai dan puncak bukit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Abdul Razak Muda berkata, kejadian terperangkap dalam ‘kepala air’ dapat dielakkan sekiranya orang ramai mengambil iktibar daripada kes yang banyak dilaporkan di media cetak, elektronik dan sosial.

“Jangan jadi mangsa, elak berkunjung ke pusat rekreasi pada musim hujan, walaupun tiada hujan beberapa hari di tempat kita namun ia mungkin berlaku di hulu sungai dan puncak bukit.

“Bagi ibu bapa serta orang dewasa yang masih mahu membawa anak ke kawasan air terjun, mereka perlu peka dengan persekitaran dan perubahan cuaca, sekiranya nampak awan mendung dan terdengar guruh atau paras air mula meningkat, lebih baik tinggalkan lokasi terbabit dengan segera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian enam kanak-kanak hanyut di kawasan rekreasi air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi, 5 petang semalam.

Dalam kejadian itu, dua mangsa berjaya diselamatkan, dua ditemui mati lemas manakala dua lagi masih belum dijumpai.

Mengulas lanjut kejadian kepala air di Kedah, Abdul Razak berkata, sehingga kini 15 mangsa diselamatkan JBPM akibat terperangkap dalam kepala air.

Katanya, 14 mangsa diselamatkan pada hari pada 3 September lalu iaitu lapan di pusat rekreasi Tupah, Merbok manakala enam lagi di air terjun Kampung Batu Hampar, Yan.

Menurutnya, selang enam hari kemudian (9 September) seorang mangsa berjaya diselamatkan di air terjun Temurun, Langkawi.

Beliau berkata, antara petanda lain terjadinya kepala air ialah berlaku pergerakan batu, kehadiran air berbuih dan banyak ranting kayu serta sampah dihanyutkan.

“Jika ternampak petanda itu berlaku pengunjung mesti terus beredar kerana kepala air ini boleh turun dalam tempoh yang singkat seperti tsunami.

“Jangan cuba menyeberangi sungai jika berlaku kepala air, tunggu sehingga pasukan penyelamat tiba, tindakan menyeberang kepala air tanpa alatan menyelamat akan mengundang kecelakaan kerana arusnya sangat deras sehingga mampu menghanyutkan balak.

“Kecelakaan akibat kepala air bukan saja membabitkan lemas, tetapi boleh menyebabkan kecederaan serius sekiranya berlaku rempuhan sampah atau balak yang dibawa arus, yang mungkin juga boleh membawa maut,” katanya.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *