Israel rancang bina 4,000 unit rumah haram di Tebing Barat

BAITULMUQADDIS – Israel merancang membina kira-kira 4,000 unit rumah haram baharu di Tebing Barat dalam usaha mening­katkan jumlah penempatan sedia ada, kata pihak berkuasa Israel kelmarin.

Kelulusan itu termasuk membina penempatan di bandar Hebron, Tebing Barat iaitu buat kali pertama sejak tahun 2002 di kawasan yang berpotensi bergolak.

Seorang pegawai Israel yang enggan namanya didedahkan berkata, sebanyak 3,736 unit rumah akan diberi kelulusan mengikut fasa perancangan pembinaan.

Dia tidak mendedahkan butiran lanjut, namun menyatakan kediaman itu akan ditempatkan di sepanjang Tebing Barat termasuk di bandar Hebron, penem­patan Migron dan Beit El dekat Ramallah.

“Secara total, kira-kira 12,000 unit perumahan akan diberi kelulusan bagi tahun 2017 mengikut fasa-fasa perancangan dan pembinaan iaitu empat kali ganda berbanding 2016,” kata pegawai itu.

Media tempatan Israel menyatakan sebuah majlis perancangan dijangka bermesyuarat minggu hadapan untuk meluluskan rancangan penempatan itu. – AFP

Sumber – kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *