JKKK perlu mainkan peranan dan aktif beri maklumat tepat

MIRI – Kerajaan mahu anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) memainkan peranan aktif memberikan maklumat tepat dan betul tentang dasar dan bantuan kerajaan kepada penduduk di kawasan masing-masing.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi berkata penting untuk pemimpin peringkat akar umbi memberikan fakta betul isu-isu semasa supaya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menjadi mangsa permainan politik pihak tertentu.

Katanya sokongan padu pemimpin seperti penghulu dan ketua kaum yang menganggotai JKKK dan JKKKP amat penting bagi memastikan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran negara maju pada 2020 serta menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Sokongan berterusan pada kerajaan sedia ada akan menjamin kesinambungan pembangunan yang telah dirancang dan dilaksanakan.

“Ini penting bagi memastikan segala agenda pembangunan yang telah kita rancang dapat dijayakan untuk manfaat semua rakyat,” katanya semasa merasmikan program Sijil Tadbir Urus Desa Infra-UniKL di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Nanta berkata pemimpin peringkat akar umbi berkenaan perlu lebih proaktif menyakinkan masyarakat kampung untuk terus menyokong kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Beliau berkata penggunaan media baharu adalah satu daripada cara untuk membetulkan perseptif negatif dalam kalangan penduduk kampung yang mungkin telah terpengaruh dengan tohmahan dilemparkan pembangkang.

Katanya hampir 500 anggota JKKK daripada daerah Miri, Beluru, Niah, Marudi, Long Lama, Tatau, Bintulu, Limbang dan Lawas menyertai program Sijil Tadbir Urus itu.

“Fasa 1 bagi Zon Sarawak telah diadakan pada 23 hingga 25 Mei lalu di Kuching dengan dihadiri 500 anggota JKKK daripada Kuching, Samarahan dan Serian,”k atanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Institut Kemajuan Desa Datuk Rubiyah Abdul Rahman.

 

Sumber – BERNAMA/malaysiandigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *