Kebakaran hutan marak akibat angin kuat di California

SANTA ROSA, California – Kebakaran hutan yang marak akibat angin kuat merebak dengan pantas di California Utara kelmarin, mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh, beratus-ratus kediaman musnah dan 20,000 penduduk terpaksa melarikan diri.

Beberapa pegawai bomba berkata, kemalangan jiwa itu menjadikan jumlah kematian akibat kebakaran hutan di California tahun ini meningkat kepada 13 orang, angka terbesar di negeri itu dalam tempoh satu dekad.

Setakat kelmarin, kebakaran itu telah memusnahkan 30,000 hektar hutan.

Gabenor Negeri California, Jerry Brown mengisytiharkan darurat bencana di daerah Napa, Sonoma dan Yuba.

Beliau kemudian melanjutkan perintah itu ke empat daerah lain di California Utara dan Daerah Orange di California Selatan.

Daerah Sonoma mencatatkan korban tertinggi dengan tujuh kematian yang disahkan, kata pejabat syerif tempatan dalam satu kenyataan.

Dua lagi mangsa maut di Daerah Napa dan seorang di Daerah Mendocino, demikian menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (CalFire). Angka kematian dijangka terus meningkat.

Setakat kelmarin pula, lebih 100 orang dirawat akibat kecederaan berkaitan kebakaran seperti melecur atau masalah pernafasan akibat terhidu asap, lapor saluran berita CNN. – Reuters

Sumber – kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *