Kehakiman bebas daripada campur tangan politik

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Sistem kehakiman negara adalah bebas daripada campur tangan politik dan sebarang keputusan kehakiman yang dibuat tidak dipengaruhi atau ditentukan oleh mana-mana pihak, menurut Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif.

Jelas beliau, pihaknya menyedari masyarakat mempunyai persepsi buruk terhadap kehakiman negara terutamanya membabitkan keputusan-keputusan mahkamah yang berkaitan dengan ahli politik, tetapi me­negaskan andaian tersebut adalah tidak betul.

Md. Raus mengakui mungkin wujud kekura­ngan dalam aspek kehakiman tetapi pihaknya menolak adanya campur tangan pihak luar bagi menentukan keputusan sesuatu kes.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa sistem kehakiman negara adalah bebas daripada campur ta­ngan pihak luar termasuk ahli politik, segala keputusan adalah berdasarkan perundangan yang ada.

“Anda boleh bertanyakan kepada hakim-hakim sebelum ini adakah terdapatnya pihak lain mengarahkan mereka membuat keputusan kehakiman,” katanya selepas menyampaikan syarahan bertajuk Pembaharuan Kehakiman oleh Kehakiman Malaysia di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya dan pengarang kanan media.

Jelas Md. Raus, sekiranya membuat kajian terhadap keputusan-keputusan kehakiman sebelum ini masyarakat akan mendapati ada juga keputusan yang turut berpihak kepada ahli politik pembangkang.

“Hanya beberapa perkara mereka (hakim) tidak bebas, misalnya budaya kerja dan para hakim perlu mematuhi budaya yang ditetapkan. Namun dari segi membuat keputusan mereka dibiarkan bebas,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, sistem kehakiman negara telah melalui fasa yang membanggakan terutama­nya hasil transformasi dan penambahbaikan sistem penyampaian kehakiman negara yang diinisiatifkan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi sebaik sahaja memegang jawatan itu pada 2008.

Katanya, prestasi kehakiman negara dalam menyelesaikan pelbagai kes khususnya membabitkan kes komersial hanya dalam tempoh sembilan bulan merupakan prestasi yang membanggakan, sehingga Singapura yang selama ini dianggap mempunyai sistem kehakiman terbaik di du­nia, tidak dapat mengatasi kemampuan negara.

“Pencapaian sistem kehakiman negara sendiri diiktiraf oleh Bank Dunia, mungkin kita tidak mempromosikan pencapaian ini seperti yang dilakukan oleh Singapura. Saya harap dengan bantuan pihak media, segala pencapaian negara boleh diuar-uarkan,” katanya.

Tambah Md. Raus, beliau yang baharu dilantik sebagai Ketua Hakim Negara bermula pertengahan tahun ini mahu meneruskan momentum perkembangan positif sistem kehakiman Malaysia termasuk mahu menerapkan unsur-unsur digital di dalam aspek pendengaran kes di mahkamah serta latihan kepada para hakim.

Beliau turut berkongsi statistik bahawa sewaktu transformasi kehakiman negara itu hendak dimulakan, terdapat lebih 6,490 kes masih tertangguh.

Tambahnya, hasil beberapa inisiatif termasuk dengan me­nubuhkan Mahkamah Tinggi Bahagian Komersial Baharu (NCC), banyak kes berjaya diselesaikan dan sehingga 30 September lalu hanya terdapat 818 masih belum diselesaikan, itupun sebahagian besarnya merupakan kes yang didaftarkan untuk tahun ini.

“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Komersial, 96 peratus kes berjaya ditamatkan dalam tempoh sembilan bulan. Pencapaian ini sesuatu yang membanggakan dalam sistem kehakiman negara.

“Singapura sendiri tidak mampu menyaingi kita dalam menyelesaikan kes-kes ko­mersial, dengan tempoh yang ditetapkan mereka menjangkau sehingga 18 bulan,” katanya.

 

Sumber – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *