“Kekuatan UMNO adalah disebabkan perpaduan ahlinya” – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kekuatan UMNO adalah disebabkan perpaduan dalam parti dan tidak bergantung kepada populariti seseorang pemimpin semata-mata.

Katanya, mempertahankan institusi parti itu lebih penting berbanding pemimpin yang datang dan pergi dan sekiranya perkara itu menjadi pegangan ahli parti, UMNO akan terus kekal relevan mendapat kepercayaan rakyat di negara ini.

“Kekuatan UMNO adalah disebabkan perpaduan ahlinya… saya sendiri telah tewas kepada Mohamad Sabu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 disebabkan perpecahan yang berlaku dalam UMNO di Kelantan, namun saya dilantik menjadi menteri,” katanya pada sesi dialog Perjuangan For All, di Pusat Komuniti Lembah Pantai, di sini malam tadi.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa pangkat dan kedudukan bukanlah satu kemestian yang harus menjadi sasaran sebaliknya kedudukan dan masa depan parti yang harus menjadi keutamaan kepada mana-mana ahli dan kepimpinan parti.

“Dulu saya kalah pilihan raya, saya jadi menteri tapi hari ini, saya menang pilihan raya namun saya tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam kerajaan. Biarlah saya jadi ‘orang kecil’ asalkan saya dapat memberikan sumbangan besar kepada parti melalui kedudukan saya sebagai Ketua Penerangan UMNO.

“Kita juga sebagai Jentera Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO harus mengambil langkah proaktif menangani ketakutan menjawab fitnah yang dilemparkan kepada kepemimpinan parti di media sosial.

“Kita tidak perlu merendah diri dalam usaha menepis dakwaan, tuduhan tidak benar dan sentimen kebencian yang ditanam dalam kempen pembangkang hari ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat khususnya penduduk di Lembah Pantai agar tidak memperjudikan masa depan negara hanya kerana terpengaruh dengan sentimen dibawa oleh individu berpengaruh dalam politik.

Rakyat seharusnya membuat keputusan bijak dengan mengekalkan kuasa sedia ada terhadap UMNO, iaitu tunjang utama dalam BN atau mengambil risiko memilih pakatan pembangkang yang pro-Dap.

“Sejak kita mencapai kemerdekaan, orang Melayu sebagai komuniti paling besar di negara ini dapat menjadi pemimpin negara melalui UMNO.

“Atas kerjasama kita bersama kaum lain dalam BN, kita sudah berjaya membuktikan rekod baik dalam membangunkan negara dan mempertahankan kepentingan bangsa Melayu dan Islam sedangkan pada masa sama kita turut menjaga kepentingan kaum minoriti dan bangsa-bangsa lain.

“Saya bimbang jika orang Melayu mengambil risiko untuk menukar kerajaan hanya disebabkan terbawa-bawa terhadap sentimen cuba disuntik personaliti politik yang kini bekerjasama dengan pakatan dalam Dap, maka kita semua akan hancur” tambahnya lagi.

 

Sumber – MediaUMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *