“Kita takkan berganjak, kita tak perakukan himpunan tersebut” – KPN

KUALA LUMPUR: Meskipun Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberikan kebenaran himpunan ‘Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’, pihak polis tetap dengan pendirian melarang acara berkenaan diadakan di Padang Timur esok.

“Kita punya stand kita tegas dalam pendirian, kita takkan berganjak. Kita tak perakukan himpunan tersebut,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata majlis bandar raya itu tiada masalah memberi kebenaran untuk menggunakan lokasi berkenaan, namun soal berkaitan undang-undang wajar diajukan kepada pihak polis.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap pihak berkuasa tempatan itu, Fuzi hanya menjawab bahawa padang itu berada di bawah bidang kuasa MBPJ.

Beliau juga pada semalam meminta penganjur menukar ke Stadium Kelana Jaya bagi mengelakkan masalah lalu lintas.

Malah Mohd Fuzi juga menegaskan tindakan boleh diambil terhadap PH jika mereka tetap berdegil meneruskan acara itu di Padang Timur.

Walau bagaimanapun, pihak MBPJ memberitahu akan menghantar pegawai penguatkuasanya untuk memantau dan menjaga keselamatan di lokasi.

Perhimpunan yang dijangka bermula jam 4 petang hingga tengah malam, akan menampilkan penceramah daripada gabungan pembangkang, termasuk Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad dan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

 

Sumber -na-/Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *